PLUS agih zakat RM2.3 juta kepada asnaf di sekitar Lebuhraya PLUS, LPT2
KUALA LUMPUR, 15 April (Bernama) -- Sempena Ramadan ini, PLUS Malaysia Berhad (PLUS) mengagihkan zakat berjumlah RM2.3 juta kepada asnaf yang tinggal dalam lingkungan 30 kilometer (km) radius daripada jajaran Lebuhraya PLUS dan Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2).
Menurut PLUS dalam kenyataan hari ini, seramai 1,997 asnaf, 17 pusat maahad tahfiz serta kakitangan PLUS yang layak serta terkesan akibat banjir hujung tahun lepas menerima bantuan zakat tersebut.
Menurut kenyataan itu, Pengarah Urusan PLUS Datuk Azman Ismail telah menyampaikan zakat berjumlah RM50,000 kepada lima buah pusat maahad tahfiz dalam satu majlis berbuka puasa anjuran Pejabat Wilayah Utara PLUS di Bertam, Pulau Pinang, baru-baru ini.
“Pada majlis tersebut, Madrasah Tahfizul Quran Penanti, Maahad Tahfiz Al-Quran Wal-Qiraat, Pusat Tahfiz Bukit Gantang, Maahad Tahfiz An-Nahdhoh dan Maahad Darul Furqan masing-masing menerima zakat berjumlah RM10,000 yang disampaikan untuk meringankan beban operasi yang terkesan akibat pandemik yang panjang,” menurut kenyataan itu.
Azman berkata penyampaian zakat itu selari dengan matlamat PLUS untuk meningkatkan kesejahteraan dan kemakmuran komuniti di sepanjang 1,130 km lebuh raya kendaliannya, selain meringankan beban masyarakat yang kini memasuki fasa peralihan endemik serta menyuntik keceriaan menyambut Aidilfitri.
-- BERNAMA