‘Nasi Lemak Beratur’ antara pilihan juadah moreh, sahur di Ipoh
IPOH, 15 April (Bernama) -- ‘Nasi Lemak Beratur’ di dua lokasi tumpuan di pusat bandar raya ini menjadi pilihan masyarakat setempat sebagai juadah moreh atau sahur ketika Ramadan ini.
Tinjauan Bernama mendapati, peniaga di kedua-dua gerai nasi lemak itu dihujani pelanggan pelbagai lapisan umur yang sanggup beratur awal hingga sejauh 500 meter dari gerai pada satu-satu masa demi mendapatkan nasi dan pelbagai lauk-pauk disediakan.
Satu daripada gerai ‘Nasi Lemak Beratur’ itu iaitu ‘Nasi Lemak Depan Hospital’ yang terletak di kaki lima berhadapan Hospital Raja Permaisuri Bainun, bukan sesuatu yang asing kerana sudah dua tahun beroperasi namun kekal menjadi pilihan warga bandar raya dan orang ramai lebih-lebih lagi selepas tular menerusi media sosial baru-baru ini.
Pengusahanya, Faridah Hassan, 57, berkata perniagaannya bermula dengan menumpukan jualan kepada kakitangan dan orang ramai yang berurusan di hospital, namun kini menerima pelanggan hampir dari seluruh negara.
“Sebenarnya tapak ini (gerai) khusus untuk kakitangan hospital atau keluarga pesakit yang mahu mencari makanan berat seperti nasi. Usaha ini bagi meringankan beban mereka mencari juadah untuk moreh dan sahur.
“Saya memang ada warung nasi lemak di Taman Song Choon kira-kira 10 kilometer dari sini. Namun disebabkan tidak boleh berniaga di siang hari, saya mencari kelainan dengan memilih lokasi ini untuk menjual juadah moreh dan sahur,” katanya yang dibantu suami, anak dan beberapa pekerja.
Faridah berkata walaupun dibuka pada 11 malam, pelanggan sudah mula berada di gerai berkenaan sejam awal bagi mengelak beratur panjang dan kehabisan lauk.
“Setiap hari, saya akan memasak 30 kilogram nasi lemak sehinggakan kadang-kadang suami perlu menghantar lagi nasi kerana tidak cukup. Pelanggan terlalu ramai dan boleh terjual kira-kira 1,000 bungkus nasi lemak setiap hari,” katanya.
Seorang pelanggan tetap yang juga sukarelawan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Mohd Khairul Azhar Abdul Rahim, 31, berkata dia akan datang membeli nasi lemak tiga hingga empat kali seminggu.
“Saya suka beli di sini sebab lauknya sedap dan berbaloi dengan harga. Sambalnya kena dengan tekak (selera). Saya bukan tunggu waktu sahur, saya akan makan sekarang juga,” katanya.
Sementara itu, kira-kira satu kilometer dari kawasan tersebut, terdapat pula gerai ‘Nasi Lemak Beratur’ dikenali ‘Nasi Lemak Depan The Store’ yang diusahakan Abdullah Syukor Mat, 33, dan dibantu tukang masak, Mohamad Taufiq Mohamed Zamri, 28, menggunakan resepi turun-temurun keluarga.
“Kami bermula dengan perkhidmatan bayar waktu terima di kampung kami di Karai, Kuala Kangsar dan kemudian mendapat sambutan amat baik lalu diteruskan di sini sejak awal Ramadan.
“Alhamdulillah hasil resipi ibu, kami berjaya menjual 20 kilogram nasi lemak setiap hari walaupun kami hanya berniaga kira-kira sejam sahaja bermula 11 malam. Orang ramai sudah mula beratur seawal 9 malam.
“Saya pilih tempat ini kerana berdekatan dengan rumah, jadi senang kalau kami kehabisan barang. Selain itu, gerai ini juga berada di pusat bandar yang memudahkan orang lalu-lalang di sini singgah membeli juadah moreh dan sahur,” katanya.
Seorang pengunjung, Muhammad Syafiq Hafiz Mat Darus, 22, berkata lauk yang dijual di gerai ‘Nasi Lemak Depan The Store’ amat sedap ditambah pula nasinya yang cukup lemak.
“Seperti yang kita tahu, selalunya sambal sahaja yang padu tetapi nasi biasa sahaja. Di sini sambalnya sedap dan nasi pun cukup lemak. Ini sudah masuk hari ketiga saya beli nasi lemak ini dan pastinya akan mula beratur seawal 9 malam sebab tidak mahu kehabisan,” katanya.
-- BERNAMA