Sumbangan raya UDA RM200,000 untuk anak yatim dan asnaf

15/04/2022 09:16 PM

KEPALA BATAS, 15 April (Bernama) -- UDA Holdings Berhad (UDA) menerusi program tanggungjawab sosial korporat (CSR) UDA Cares, memperuntukkan sumbangan raya sebanyak RM200,000 kepada anak yatim dan asnaf di beberapa wilayah perniagaan di seluruh negara.

Pengerusinya, Datuk Norliza Abdul Rahim berkata seramai 800 orang di Pulau Pinang, Perak, Selangor, Johor dan Pahang menerima manfaat menerusi sumbangan raya UDA Cares itu.

"Di Pulau Pinang, UDA sumbangkan sebanyak RM65,000 kepada 40 anak-anak asnaf dan tiga buah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk diagihkan kepada golongan memerlukan bagi persiapan Aidilfitri nanti.

"Sumbangan tersebut merupakan antara inisiatif UDA dalam mengeratkan hubungan dengan masyarakat setempat khususnya di wilayah perniagaan UDA," katanya kepada pemberita selepas Majlis Syukuri Ramadan dengan golongan memerlukan di Pulau Pinang, di sini hari ini.

Terdahulu pada majlis itu, anak-anak asnaf dibawa membeli-belah kelangkapan hari raya seperti pakaian dan kasut di pasar raya besar Mydin Mall Bertam, di sini dengan menggunakan sumbangan berjumlah RM250 setiap seorang dan mereka turut diraikan pada majlis jamuan berbuka puasa yang diadakan di Crescent Dew Clubhouse di Bertam.

Norliza berkata sumbangan itu juga merupakan inisiatif UDA untuk berkongsi rezeki bersama golongan yang kurang berkemampuan, agar mereka dapat merasai lebih keseronokan menyambut lebaran pada tahun ini.

Beliau berkata sumbangan seumpama ini akan dilaksanakan sepanjang tahun bertujuan memberi keseimbangan dalam perniagaan dan tidak hanya tertumpu kepada penjanaan keuntungan semata-mata tetapi dalam masa sama menyumbang semula serta menambah nilai kepada komuniti.

"Setiap tahun UDA sentiasa mencari pendekatan baharu dalam mempelbagaikan aktiviti UDA Cares bagi memastikan lebih ramai masyarakat setempat dapat dibantu dan menerima manfaat, ia selari dengan konsep penjenamaan baharu UDA iaitu ‘life’ yang menekankan kepada ciri-ciri legasi, integrasi, ketelitian dan memperkasa," katanya.

Sementara itu, seorang penerima sumbangan Mohamad Fakry Darwisy Noreezri, 10, yang kehilangan ayah ketika dia berusia tujuh tahun akibat kanser berkata sambutan Aidilfitri kali ini lebih meriah dengan persiapan pakaian yang lebih lengkap.

"Tahun lepas ibu (Noraini Ilias, 43,) yang berniaga kuih hanya belikan sehelai baju kurta tapi tahun ini saya boleh beli sepasang baju Melayu, samping, songkok dan kasut untuk sambut raya nanti...sudah tentu saya lebih gembira tahun ini, terima kasih UDA," kata anak bongsu daripada tiga beradik itu.

Seorang lagi penerima Nur Sofia Humaira Mohd Hadi, 8, berkata beliau menumpang di rumah neneknya bersama ibu serta dua kakaknya selepas kematian ayahnya sejak dia berusia dua tahun.

"Saya beli baju kurung dua helai, kasut dan tudung untuk raya nanti...gembira dapat datang beli pakaian hari ini, selalunya ibu yang bawa beli tapi sepasang sahaja," katanya.

-- BERNAMA