PM Ismail Sabri santuni golongan asnaf di Bera
BERA,16 April (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini menyampaikan sumbangan kepada golongan yang memerlukan di Bera sempena program Jelajah Semarak Ramadan di Masjid Kampung Batu Bor di sini hari ini.
Ismail Sabri ketika ditemui berkata program itu bertujuan membantu meringankan beban golongan asnaf, ibu tunggal dan anak yatim di Bera dalam membuat persiapan menyambut Aidilfitri.
“Saya berharap sumbangan berkenaan sedikit sebanyak dapat membantu mereka untuk hari raya nanti dan bantuan seumpama ini memang setiap tahun kita laksanakan,” katanya.
Pada program berkenaan, Ahli Parlimen Bera itu turut mempelawa penerima sumbangan untuk menghadiri rumah terbuka yang akan dianjurkannya di Dataran Kerayong, di sini pada 7 Mei depan.
Menurut beliau, acara tradisi itu dapat mengeratkan hubungan antara penduduk setempat dan pemimpin masyarakat tanpa mengira kaum dan agama.
Terdahulu, Ismail Sabri meluangkan masa kira-kira setengah jam bertanya khabar penerima sumbangan.
Pada program itu, Ismail Sabri menyampaikan sumbangan daripada Yayasan Petronas kepada lebih 200 penerima yang menetap di Kampung Batu Bor, Charok Putting dan Paya Mengkuang Ladang, di sini.
Selain menyerahkan sumbangan kepada penerima di Masjid Kampung Batu Bor, beliau dijadual akan menyampaikan sumbangan kepada lebih 1,000 lagi penduduk Bera di Masjid Mengkarak, Dewan Taman Merbau dan Masjid Bandar Kemayan.
Program berkenaan turut dihadiri Pegawai Daerah Bera Datuk Zaman Azam Mohamat Sarif dan pemimpin setempat.
-- BERNAMA