Permaisuri Agong berkenan sediakan juadah istimewa bubur lambuk Pahang
KUALA LUMPUR, 16 April (Bernama) -- Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah sekali lagi berkenan ‘menyingsing lengan’ memasak juadah bubur lambuk Pahang, resipi istimewa baginda untuk diedar kepada orang ramai.
Terkenal dengan hobi memasaknya, Tunku Azizah seawal 10 pagi lagi telah mula masuk ‘dapur’ di perkarangan surau utama istana negara sebagai Chef de Cuisine dibantu kira-kira 100 ahli Kelab Kebajikan dan Sukan Istana Negara (KEKSIN) dan kakitangan Istana Negara.
Merupakan antara acara tahunan KEKSIN setiap Ramadan, bubur berkenaan disediakan dalam empat kawah dan menghasilkan kira-kira 1,500 bungkusan untuk diedar kepada anggota polis dan tentera yang bertugas serta rumah kebajikan dan masjid sekitar ibu negara.
Sejurus selesai selepas kira-kira dua jam, Tunku Azizah turut berkenan berkongsi rahsia resipi istimewa bubur berkenaan yang menjadi juadah kegemaran santapan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, bukan sahaja di bulan Ramadan, malah menjadi menu mingguan Seri Paduka.
“Bubur lambuk ini resipi orang Pahang, jika di Pahang kita gunakan ikan bakar, ayam, sotong dan udang. Rebus beras sampai kembang, bila beras nak kembang saya akan letak bawang merah halia serai barulah masuk santan, kemudian lada hitam, garam dan daun-daun macam daun kunyit, daun kesum dan daun selasih.
“Kita hanya guna ikan bakar, udang hidup, udang kering kalau nak letak boleh juga serta ayam dan ikan… Bubur lambuk Pahang ini dia rasa lada hitam dan garam,” titah baginda pada Program Bubur Lambuk bersama KEKSIN di Istana Negara di sini.
Tunku Azizah juga bertitah bahawa program anjuran KEKSIN itu adalah program tahunan yang sebelum ini diadakan dua kali setahun.
“Ini acara setiap tahun, kadang-kadang kita buat dua kali setahun tetapi sebab saya baru baik COVID-19, ini sahaja ada masa, minggu lepas kena kuarantin, minggu depan Tuanku banyak program. Ini sumbangan KEKSIN kepada rakyat Malaysia,” titah Seri Paduka.
-- BERNAMA