KIMMA teruskan tradisi santuni 3,000 golongan asnaf

16/04/2022 04:12 PM

SIMPANG RENGGAM, 16 April (Bernama) -- Kongres India Muslim Malaysia (KIMMA) meneruskan tradisi menyantuni golongan asnaf melalui sumbangan barangan keperluan asas dan duit raya yang akan diberikan kepada lebih 3,000 penerima di seluruh Semenanjung Malaysia.

Presiden KIMMA Datuk Seri Syed Ibrahim Kader berkata inisiatif dengan kerjasama pihak swasta dan persendirian sempena Ramadan dan Syawal itu telah memasuki tahun ke-15 dan ia akan bermula di Johor dan berakhir di Perlis.

“Kita berharap dengan bantuan ini akan dapat membantu golongan asnaf yang memerlukan seperti warga emas, ibu tunggal, golongan Orang Kurang Upaya (OKU) dan sebagainya," katanya kepada pemberita selepas program berkenaan di sini hari ini.

Sementara itu, penerima bantuan Mohd Shahrul Hassan, 37, bersyukur dengan bantuan yang diberikan sekurang-kurangnya ia dapat memberi kelegaan dan meringankan bebannya sekeluarga untuk menyambut Hari Raya, lebih-lebih lagi dua daripada tiga anaknya adalah golongan OKU.

Kedua-dua anak Mohd Shahrul iaitu Noriman Shah Abdullah, 13, dan Norrahil Raihan, 4 mengalami kecacatan fizikal yang tidak boleh bergerak dan memerlukan bantuan orang lain untuk urusan harian mereka.

-- BERNAMA