Masih belum cukup tua, saya masih gagah berpuasa - Mat Sentol
JOHOR BAHRU, 17 April (Bernama) -- Pelakon dan pelawak veteran, Mat Sentol atau nama sebenarnya Abdul Rasip Yahya, bersyukur keadaan kesihatannya masih baik dan mampu berjalan meskipun menggunakan tongkat termasuk ke Bazar Ramadan.
“Masih belum cukup tua, ramai lagi yang tua dan gagah berpuasa. Alhamdulillah saya masih mampu berpuasa," katanya yang kini berusia 89 tahun.
Masih keletah dengan lawak jenakanya yang bersahaja, anak kelahiran Muar ini pernah membintangi beberapa filem antaranya Mat Tiga Suku, Mat Bond, Mat Toyol, Mat Karong Guni dan Mat Magic.
Menggemari masakan mee siam Singapura, Mat Sentol yang tinggal berdua dengan anak lelakinya, Roslee Rashid, 60, masih menghabiskan masa lapangnya dengan menulis skrip menggunakan bahasa jawi.
Seniman yang juga pernah aktif menghasilkan iklan televisyen dan radio antaranya Jojo, Tora, Ding Dang dan Apollo itu, masih mempunyai ingatan yang kuat malah bait-bait lagu dan dialog iklan juga masih mampu diingatinya membuktikan kesihatannya yang baik.
Ketika ditanya adakah bersedia untuk kembali berlakon, Mat Sentol secara spontan menjawab "Bila-bila masa," katanya berseloroh sambil disambut ketawa pelawat yang hadir di rumahnya di Larkin, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menerima kunjungan Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa di kediamannya, hari ini.
Sementara itu, Annuar Musa berkata aspirasi perjalanan hasil karya Mat Sentol harus dijadikan aset dan panduan kepada generasi muda.
Sehubungan itu, beliau berharap pihak berkaitan seperti Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) agar mengambil langkah tertentu untuk meletakkan kedudukan seniman negara itu di tempat yang sepatutnya.
"Mat Sentol adalah legenda hidup dan wira tidak didendang yang harus kita hargai. Dengan adanya sambutan Hari Seniman setiap 22 Mac, kita harap seniman-seniman seperti Mat Sentol ini dikenang dan dihargai," katanya yang turut menyampaikan sumbangan berupa wang tunai dan juga pakaian kepada seniman tersebut.
-- BERNAMA