Madad mahu menjadi pusat komuniti Islam terkemuka

17/04/2022 03:12 PM

SUNGAI PETANI, 17 April (Bernama) -- Murtadha Dakwah Centre (Madad) bercadang menjadi sebuah pusat komuniti Islam terkemuka di dalam dan luar negara menerusi pembangunan pelbagai kemudahan di kawasan tanah seluas tiga hektar di Kampung Teluk, Sungai Layar, di sini.

Pengarah Urusan Madad Mohammad Yaakub Yusra Mohd Yusof berkata pembangunan membabitkan pembinaan pusat tahfiz integrasi, masjid, hotel kapsul, rumah jagaan warga emas serta pusat pengurusan jenazah itu, kini giat dilaksanakan dan dijangka siap sepenuhnya menjelang 2025.

“Kesemua kemudahan ini akan disediakan secara percuma bagi kegunaan orang ramai, sesuai dengan konsep Madad untuk memberi manfaat kepada seluruh ummah,” katanya kepada pemberita pada majlis pelancaran program Ramadan Bersama Ekonomi Kita di sini, baru-baru ini.

Katanya Madad yang ditubuhkan pada Januari 2018, ketika ini mempunyai kemudahan seperti maahad tahfiz dan pusat pengurusan jenazah selain menjalankan beberapa bidang perniagaan.

Mohammad Yaakub Yusra berkata pusat dakwah itu juga sedang berusaha mengembangkan perniagaannya bagi memastikan ia mampu menjana pendapatan sendiri dan tidak terlalu bergantung kepada kutipan dana atau sumbangan orang ramai.

“Pada 2019 selama setahun kami tidak mengutip dana dan mampu mengekalkan operasi, selain menyediakan pelbagai sumbangan untuk golongan memerlukan seperti mengadakan program bank makanan.

“Kami memang berazam untuk menjana pendapatan sendiri pada masa akan datang untuk menguruskan operasi, namun buat masa ini kami masih memerlukan sumbangan dan kutipan dana,” katanya.

Menurutnya antara perniagaan yang diusahakan Madad ketika ini adalah pelaburan saham patuh syariah, percetakan buku digital, perniagaan makanan selain aktiviti perternakan dan pertanian.

“Anggaran pendapatan bulanan kami ketika ini adalah sekitar RM150,000 hingga RM200,000 sebulan, bagaimanapun kos operasi dan program yang kami jalankan hampir RM350,000 sebulan,” katanya.

Tambah beliau pihaknya bercadang memiliki sebuah institusi pengajian tinggi pada masa akan datang bagi menawarkan program profesional secara percuma kepada pelajar.

-- BERNAMA