Ibu tunggal kutip barangan terpakai besarkan empat anak

17/04/2022 04:20 PM

MELAKA, 17 April (Bernama) -- Berdepan pelbagai reaksi negatif termasuk herdikan kata-kata kesat ketika mengutip barangan terpakai tidak mematahkan semangat seorang ibu tunggal, Umi Nur Faizah Fauzan Ali Halimi, 39, untuk meneruskan pekerjaan itu bagi membesarkan empat anak perempuannya.

Umi Nur Faizah yang mesra dipanggil Umi berkata dia terpaksa melakukan pekerjaan yang dianggap kotor, jijik dan busuk itu sejak lebih lima tahun lepas di sekitar Kawasan Perindustrian Malim di sini menggunakan kereta sorong untuk mengangkut barangan terpakai yang dikutipnya.

"Biasalah manusia...ada yang kasihan bila melihat saya mengutip barangan terpakai, ada yang menghina sebabnya saya bergelumang dengan sampah.

"Itu semua terpaksa saya telan sehingga dah jadi perkara biasa bagi saya. Apa yang lebih penting adalah mencari rezeki untuk besarkan anak-anak," katanya kepada Bernama di Malim di sini hari ini.

Umi berkata sepanjang Ramadan, dia akan mula mencari kotak bermula 8 pagi hingga 5 petang dan pendapatan yang diraih bergantung pada jenis barangan terpakai yang berjaya dikutipnya.

Menurutnya pendapatan yang diperoleh pernah hanya sekitar RM10 sahaja walaupun telah seharian bekerja namun pernah juga mencecah hingga RM100 lebih sehari jika bernasib baik mengutip besi, aluminium atau tembaga.

Umi berkata kedaifan hidup mereka sekeluarga ditempuhi dengan berlapang dada, sentiasa bersyukur dan mengutamakan keperluan berbanding nafsu atau keinginan.

"Cukup atau tidak pendapatan yang saya dapat sebulan, saya kena cukupkan juga. Kita jangan lihat atau bandingkan dengan kehidupan orang lain kerana sampai bila-bila pun tidak akan cukup.

"Saya bersyukur kerana anak-anak faham dengan apa yang mereka lalui dan tidak pernah meminta atau cerewet tentang makanan," katanya yang turut bekerja sebagai pembantu kedai makan dengan upah RM50 sehari kecuali pada Ramadan.

Umi berkata dua anaknya yang berusia enam dan sembilan tahun sering menemaninya mengutip barangan terpakai manakala dua lagi yang berusia 13 dan 15 tahun terpaksa dihantar ke sebuah madrasah di Alor Gajah bagi memastikan mereka mendapat pendidikan dan perhatian yang lebih baik ekoran kesibukannya mencari rezeki.

Menurut Umi, keempat-empat anaknya menerima bantuan keseluruhan sebanyak RM650 sebulan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat, bantuan makanan bernilai RM200 daripada Majlis Agama Islam Melaka serta RM50 sebulan untuk tiga anaknya yang berusia sembilan, 13 dan 15 tahun.

Katanya dia sangat berhati-hati dengan perbelanjaan harian mereka bagi memastikan bantuan dan pendapatan yang diperoleh digunakan sebaiknya terutama membayar sewa rumah serta membeli barangan dapur.

Mengenai persiapan Hari Raya Aidilfitri, Umi berkata setakat ini dia belum dapat membeli pakaian baharu untuk anak-anak dan dirinya sebaiknya lebih mementingkan makanan dan keperluan harian mencukupi.

"Sedih memang sedih tetapi tiada pakaian baharu bukan bermakna tidak boleh berhari raya seperti orang lain, anak-anak saya faham keadaan mereka," katanya.

-- BERNAMA