Hayati Nuzul Quran, Terus Bersederhana Dan Jaga Kesihatan
Oleh Muhammad Basir Roslan
KUALA LUMPUR (Bernama) -- Tarikh 17 Ramadan membawa makna yang besar kepada umat Islam, iaitu detik Nabi Muhammad SAW menerima ayat al-Quran yang pertama yang diturunkan oleh Allah SWT menerusi perantaraan Malaikat Jibrail.
Penurunan al-Quran berlaku dalam dua kaedah iaitu secara sekali gus dari Luh Mahfuz ke Baitul Izzah dan secara beransur-ansur kepada Rasulullah yang mengambil masa 23 tahun hingga al-Quran lengkap pada tahun ke-10 Hijrah.
(Luh Mahfuz ialah lembaran yang ditulis padanya ketetapan sekalian makhluk sehingga hari kiamat, sementara Baitul Izzah ialah langit dunia).
Peristiwa 17 Ramadan itu diingati oleh umat Islam sebagai Nuzul Quran, dan di Malaysia, sambutan Nuzul Quran kali ini pastinya ada kelainan selepas dua tahun berturut-turut diraikan dalam keterbatasan berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan akibat penularan pandemik COVID-19.
Bermula 1 April lalu, kerajaan melonggarkan hampir keseluruhan sekatan termasuk beribadah beramai-ramai di masjid dan surau. Ini turut menyaksikan nikmat Ramadan kali ini lebih dirasai dengan umat Islam bebas menghadiri solat sunat tarawih berjemaah serta melakukan ibadat-ibadat lain.
AMBIL IBRAH
Pensyarah kanan di Jabatan Syariah dan Ekonomi, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya Dr Mohd Shahid Mohd Noh berkata antara yang boleh dilakukan bagi menghayati sambutan Nuzul Quran kali ini ialah mengimbas semula sekatan yang terpaksa diharungi dua tahun lepas.
“Norma kehidupan kita berubah mendadak selepas COVID-19 tiba di negara kita. Kita terpaksa hadapi sekatan dan pelbagai jenis SOP. Namun kini kita beransur-ansur kembali kepada kehidupan seperti sebelum pandemik,” katanya ketika dihubungi Bernama baru-baru ini.
Menurut beliau, sepertimana penurunan al-Quran secara beransur-ansur, umat Islam juga tidak harus begitu teruja dalam meraikan kelonggaran yang diberikan sekarang.
Beliau memberi contoh budaya berkunjung ke bazar Ramadan yang turut dibenarkan beroperasi kali ini dan membeli juadah berbuka puasa secara berlebihan.
Seolah ada satu mentaliti dalam masyarakat yang "mewajibkan” diri mereka singgah di bazar Ramadan untuk membeli juadah berbuka, walhal ini hanya kehendak bukan keperluan, katanya.
Tambah beliau, pembelian juadah berbuka mengikut nafsu juga menyebabkan berlaku pembaziran apabila makanan terbabit tidak dimakan selepas berbuka puasa dan dibuang begitu sahaja.
"Data bagi 2022 yang dikongsikan oleh pihak Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) mengunjurkan sisa makanan meningkat 15 hingga 20 peratus semasa musim perayaan seperti Ramadan dan hari raya berbanding bulan-bulan biasa iaitu sebanyak 17,000 tan sehari (atau 44.4 peratus daripada komposisi sisa pepejal keseluruhan).
"Sudah tentu ini tidak selari dengan kehendak Allah yang mahu umat Islam lebih bersederhana ketika berpuasa dan berbuka bagi membolehkan kita menyelami kehidupan orang yang miskin dan susah. Allah berfirman dalam Surah Isra' ayat 27 yang membangkitkan soal pembaziran, dan jelas ini adalah satu kecaman terhadap sesiapa yang mengamalkan gaya hidup membazir," tegas beliau.
Pembaziran makanan ini katanya bukan hanya berlaku dalam kalangan isi rumah serta akibat pembelian juadah di bazar Ramadan, tetapi juga boleh berlaku di hotel dan restoran yang menawarkan hidangan bufet serta masjid yang mengadakan aktiviti berbuka puasa beramai-ramai.
Sehubungan itu, beliau menasihati semua pihak agar bekerjasama membaiki masalah berkenaan selain mendidik diri agar tidak berlebihan ketika menyediakan makanan dan membeli barangan yang tidak diperlukan.
PERLU KAWAL PEMAKANAN
Pandangan sama turut dikongsikan oleh Pakar Perunding Perubatan Keluarga di Fakulti Perubatan, Universiti Malaya Dr Nur Amani Natasha Ahmad Tajuddin yang melihat budaya berbuka puasa umat Islam di negara ini agak keterlaluan selain tertumpu pada makanan yang rata-rata tidak menyihatkan.
“Saya berpandangan ini satu budaya yang perlu kita perbaiki. Tidak sihat sebenarnya berbuka puasa dalam kadar yang terlalu melampau. Kajian kesihatan mendapati seseorang yang makan terlalu banyak dalam masa yang singkat boleh meningkatkan masalah ketidakhadaman, pedih ulu hati, cepat mengantuk dan berasa malas.
“Apatah lagi memakan makanan yang terlalu manis atau terlalu masin, berlemak dan berkolesterol tinggi yang akan menyebabkan masalah kesihatan kronik seperti kencing manis, darah tinggi, penyakit kardiovaskular dan obesiti,” jelas beliau.
Bagaimanapun kata Dr Nur Amani Natasha, ini tidak bermakna seseorang perlu menafikan dirinya daripada menikmati juadah yang diinginkan.
Ambil dalam kadar berpatutan, tegasnya.
“Contohnya jika membeli cendol santan, mintalah penjual tersebut kurangkan kadar air gula atau gula melaka yang dicedok ke dalam bungkusan cendol tersebut. Pilih jenis masakan yang lebih sihat seperti sup yang tidak berminyak, ikan, daging atau ayam yang dipanggang atau dibakar, serta ulam-ulaman. Amalkan juga tip suku-suku separuh (pinggan saiz sederhana) iaitu suku karbohidrat seperti nasi; suku protein seperti ayam, daging dan ikan; serta separuh pinggan sayur dan buah-buahan.
“Apabila kita berbuka puasa dengan pengambilan makanan secara sihat, ini dapat mengawal paras gula dalam darah ataupun bacaan gula semasa berpuasa ke tahap normal (iaitu antara 4-6 mmol/L) dan menurunkan risiko komplikasi akibat kencing manis iaitu masalah kegagalan buah pinggang, kerosakan saraf dan salur darah halus di mata, kaki dan tangan," jelas beliau.
TINGKATKAN SISTEM IMUN BADAN
Dr Nur Amani Natasha turut berkata ramai pakar kesihatan bersetuju bahawa berpuasa memberi banyak manfaat kepada kesihatan tubuh dan minda manusia.
Berpuasa terbukti dapat meningkatkan imuniti badan terhadap penyakit. Menurut kajian, setelah tiga hari berpuasa, sel darah putih akan terhasil dengan lebih banyak, dan sel inilah yang bertanggungjawab melawan jangkitan virus atau bakteria, jelasnya.
“Apatah lagi memang sudah banyak penerbitan jurnal dari Malaysia, United Kingdom, Iran dan lain-lain mengenai perbuatan berpuasa melindungi dan mengaktifkan neuron dalam otak, serta membaiki memori jangka panjang dan melambatkan proses penuaan.
“Berpuasa serta amalan sunat seperti solat tarawih dan membaca al-Quran juga dapat memberi ketenangan kepada minda dan mengurangkan kebimbangan, stres serta kemurungan, sekali gus meningkatkan produktiviti individu dan sosial. Inilah antara hikmah tersembunyi berpuasa Ramadan yang mungkin ramai dalam kalangan kita tidak sedar mengenainya,”ulas beliau.
Selain itu katanya berpuasa juga memberi peluang kepada sistem penghadaman untuk pulih selepas 11 bulan diisi dengan pelbagai jenis makanan dan minuman.
“Selain itu, berpuasa dibuktikan oleh saintis dapat menambah bilangan bakteria baik yang diperlukan untuk menghadam makanan kita,” katanya.
-- BERNAMA