Amaran Coronavirus Dalam Buah Kurma Dakwaan LAMA Pada 2017. WHO Dan Negara Asia Barat Tidak Pernah Keluarkan Amaran Itu
Najmi Shah
SEKILAS FAKTA
- Tular dakwaan terdapat coronavirus di dalam buah kurma.
- Dakwaan itu pernah tular pada 2017 dan dikongsi semula menjelang Ramadan tahun ini.
- KKM mengesahkan tiada sebarang amaran yang dikeluarkan oleh WHO berkaitan isu jangkitan coronavirus pada buah kurma yang disebabkan oleh kelawar.
pix1
LATAR BELAKANG
Ramadan tiba lagi.
Kurma atau dalam bahasa Arab Tamar, sangat sinonim dengan bulan mulia bagi umat Islam ini.
Ia menjadi sunah ketika berbuka puasa dan bersahur.
Kurma biasanya dieksport dari negara timur tengah seperti Mesir, Iran dan Arab Saudi.
Amerika Syarikat juga merupakan salah satu negara pengeluar kurma.
Terdapat ribuan jenis kurma di pasaran termasuk kurma basah, kering dan kurma segar, namun kurma yang menjadi kegemaran rakyat Malaysia adalah Ajwa, Mariami dan Safawi.
MENGENAI DAKWAAN
pix2
Tular di WhatsApp satu tangkap layar dakwaan terdapat virus corona (coronavirus) di dalam buah kurma.
Dikatakan doktor dari Arab memberi amaran kepada orang awam supaya tidak memakan buah itu yang telah dijangkiti coronavirus berpunca daripada najis sejenis haiwan iaitu kelawar.
Selain virus berkenaan, orang ramai turut diingatkan berhati-hati ketika memakan kurma kerana dikhuatiri terdapat anak lipas di dalam buah tersebut.
Menerusi gambar pada tangkap layar itu dapat dilihat benda kecil berwarna hitam di dalam kurma.
APA YANG KAMI TEMUI
Dakwaan Pada 2017 Ditularkan Semula
Langkah pertama, MyCheck meneliti kandungan WhatsApp yang tular.
Tanpa mengambil masa lama kami telah menemukan bahawa dakwaan ini adalah isu lama iaitu lima tahun dahulu.
Ia berdasarkan tarikh 26 Mei 2017 yang tertera di bawah tajuk tangkap layar yang tular.
Mungkin mereka yang menyebarkan maklumat ini tidak perasan tarikh berkenaan dan menyangkakan ia dakwaan baharu dan ditularkan semula sempena Ramadan tahun ini yang bermula 3 April lepas.
Namun benarkan dakwaan itu? Jom MyCheck semak selanjutnya.
pix3
Tangkap Layar Tular Diambil Dari Blog
Kami kemudian menggunakan enjin carian Google untuk mencari dakwaan itu.
Dengan menaip tajuk ‘virus corona dalam tamar’ kami menemukan satu blog mohdherman.blogspot.com yang menyiarkan dakwaan berkenaan.
Jelas tertera tarikh dan tangkap layar yang sama seperti yang tular di WhatsApp.
Nampaknya dakwaan yang tular semula itu diambil daripada blog ini. Namun dari manakah blog ini mendapat maklumat berkenaan?
Mari kita semak lagi.
Blog Memetik Penerangan Doktor Suhazeli Abdullah
MyCheck beralih ke media sosial untuk mencari maklumat lanjut dan menemukan isu berkenaan ditulis oleh seorang pengguna Facebook Dr Suhazeli.
Dr Suhazeli yang mempunyai lebih 94,000 pengikut itu merupakan seorang pengamal perubatan yang sering berkongsi isu semasa berkaitan kesihatan di Facebook.
Beliau telah memuat naik hantaran berhubung ‘virus corona dalam tamar’ pada 25 mei 2017.
Menerusi hantaran itu, beliau menjelaskan mengenai coronavirus yang terdapat dalam najis kelawar.
Antara penjelasan penting dalam hantaran itu antaranya :
“Adakah manusia boleh dijangkiti dengan memakan buah tamar yang mengandungi najis kelawar? Kemungkinan tetap ada jika najis yang tercemar (dibuah tamar) dengan virus Corona tersebut masih segar dipetik dari ladang. Ini kerana virus corona hanya dapat hidup ditempat terbuka maksima selama 91.29 jam (hampir 4 hari). Lebih dari tempoh itu, virus Corona tidak dapat hidup ditempat terbuka,”.
Justeru, menurut beliau virus pada buah kurma yang sudah dieksport ke Malaysia diyakini sudah mati kerana proses penghantaran mengambil masa berminggu-minggu.
Namun katanya kekotoran najis tetap perlu dibasuh sebelum memakan buah kurma walaupun risiko jangkitan coronavirus sudah tiada.
Hantaran berkenaan telah dikongsi lebih 5,400 pengguna media sosial termasuk disiarkan di blog mohdherman.blogspot.com.
pix4
Selain itu, kami tertarik dengan satu ayat dalam hantaran Dr Sazeli iaitu :
“Antaranya mesej amaran dari doktor Arab supaya tidak memakan buat tamar kerana tahi kelawar punca berlakunya jangkitan virus Corona”.
Siapa Doktor Arab Yang Keluarkan Amaran Berkaitan Isu Ini?
Dakwaan ini membawa MyCheck kepada satu laporan yang pernah kami tulis dua tahun lepas (2020).
Namun pada ketika itu laman sesawang MyCheck belum siap, jadi kami tidak dapat menyiarkan laporan tersebut.
Apabila melihat semula laporan itu, kami menemukan dakwaan yang dikatakan oleh doktor tersebut.
pix5
Kami dapati, hantaran asal berkaitan dakwaan terdapat coronavirus pada tamar ini dibuat oleh seorang lelaki bernama UT Khader melalui akaun Facebooknya.
UT Khader merupakan seorang ahli politik India yang berasal dari Karnataka.
Jelas di sini, amaran awal itu dikeluarkan olehnya menerusi Instagram sebelum ia tular dan mendapat perhatian umum termasuk Dr Suhazeli yang kemudian menjelaskan mengenai perkara itu.
Apa kata KKM?
Kami menemukan kenyataan daripada Kementerian Kesihatan (KKM) yang disiarkan pada 2017 berhubung isu ini.
Menurut KKM, pihak Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) tidak mengeluarkan sebarang amaran berkaitan isu jangkitan coronavirus yang disebabkan oleh kelawar ke atas buah kurma.
“KKM telah membuat semakan mengenai perkara ini dengan WHO untuk mendapatkan maklumat sama ada terdapat sebarang amaran atau makluman dikeluarkan negara Asia Barat atau negara lain.
“WHO memaklumkan buat masa ini, tiada amaran berkaitannya yang dikeluarkan oleh pihaknya mahupun Kementerian Kesihatan negara yang dinyatakan,” menurut kenyataan KMM yang dipetik daripada portal Berita Harian dalam laporannya bertarikh 20 Mei 2017.
Kenyataan KKM ini juga boleh ditonton di saluran YouTube Berita RTM.
Selain Berita Harian, laporan berkaitan isu sama turut disiarkan portal berita The Star, Astro Awani, Harian Metro dan badan semakan fakta Sebenarnya.my.
Kesemua laporan itu juga dikeluarkan pada 2017.
Adakah Coronavirus itu Covid-19 Dan Wujud Sejak 2017?
Pasti ada yang tertanya-tanya, adakah Coronavirus ini Covid-19 kerana biasanya ia dikaitkan dengan Covid-19 atau nama sebenarnya Novel Coronavirus (2019 - nCoV).
Namun, Covid-19 muncul pada hujung 2019, tetapi mengapa dakwaan ini sudah ada dari tahun 2017?
Baiklah, mari kita telusuri sejarah Coronavirus ini.
Menurut webMD, sebuah laman web yang memberikan maklumat mengenai kesihatan di Internet sejak 1998 lagi (menurut carian kami di who.is), Coronavirus berasal daripada keluarga besar virus yang telah wujud sejak sekian lama.
Virus ini akan menyebabkan pelbagai penyakit, daripada batuk ringan hingga penyakit pernafasan yang teruk. Ia juga sentiasa berubah dan itu boleh menyebabkan varian baharu atau ketegangan untuk virus terbentuk.
Saintis di seluruh dunia menjejaki perubahan dalam virus yang menyebabkan terciptanya Covid-19.
Jadi, Covid-19 merupakan salah satu virus daripada keluarga besar Coronavirus.
Oleh itu, dakwaan yang tular pada 2017 tersebut bukan Covid-19.
Bagaimana Pula Dengan Biji Kecil Berwarna Hitam Di Dalam Kurma?
Selain isu coronavirus di dalam kurma, ada juga dakwaan mengatakan terdapat anak lipas dalam kurma tersebut.
Menerusi mesej yang tular dapat dilihat biji-biji kecil berwarna hitam di dalam kurma.
Pasti ramai tertanya adakah ia anak lipas yang dimaksudkan.
Hasil semakan MyCheck mendapati dakwaan mengenai kewujudan anak lipas di dalam kurma ini juga pernah tular pada 2017.
Seorang pengguna Facebook bernama Siti Norbaya binti Sabaran telah memuat naik hantaran di Facebooknya mengenai perkara itu.
Siti Norbaya memberi pesanan kepada orang awam untuk membuka terlebih dahulu kurma yang dibeli memandangkan beliau sering terjumpa lipas di dalam kurma yang dibelinya.
MyCheck cuba mencari kembali hantaran asal beliau. Kami dapati akaun Facebook beliau masih wujud namun kami tidak dapat melakukan semakan lanjut kerana profilnya berstatus ‘private’.
Kami hanya menemukan hantaran Siti Norbaya yang dikongsikan oleh Facebook Bom321.
pix6
Apa pula komen KKM?
KKM telah mengeluarkan kenyataan pada tahun yang sama hantaran ini tular.
Menurut kenyataan tersebut, KKM memandang serius berhubung isu tersebut dan pemantauan ke atas produk kurma di pasaran tempatan serta di pintu masuk telah ditingkatkan bagi memastikan makanan berkenaan adalah selamat.
Selain itu, KKM turut menasihati pengguna untuk membaca label serta mengamalkan lihat, hidu dan rasa sebelum menikmati makanan bagi mengelakkan memakan makanan yang telah rosak atau tercemar.
Jika anda perasan, gambar ini juga tular kembali pada Ramadan tahun ini apabila Public Health Malaysia (PHM) memberikan pesanan untuk mengopek dan membasuh buah kurma sebelum dimakan.
Menurut PHM tahap kebersihan pengendalian buah kurma semasa ia dipetik dan dibungkus tidak diketahui secara jelas yang memungkinkan serangga kecil untuk bersembunyi di dalam buah tersebut.
pix7
KESIMPULAN
Dapat disimpulkan bahawa dakwaan mengenai coronavirus di dalam kurma adalah bersifat tidak benar.
Walaupun dikatakan ada buah kurma yang tercemar dengan virus tersebut namun tidak ada bukti daripada pihak berkaitan antaranya WHO untuk mengesahkan dakwaan itu.
Jangka hayat virus tersebut juga dikatakan tidak panjang sehingga dapat menjangkiti perumah baharu iaitu manusia.
Mengenai anak lipas di dalam buah kurma pula, tidak dapat disahkan ia benar-benar anak lipas kerana ada yang mengatakan ia adalah bubuk (sejenis kumbang).
Apa pun, nasihat MyCheck terus amalkan asas kebersihan seperti biasa.
Paling penting kerap basuh tangan apabila menyentuh apa-apa permukaan dan membasuh kurma sebelum dimakan.
Mencegah lebih baik daripada mengubati!
-- MYCHECK.MY --
RUJUKAN
-
Facebook Dr Suhazeli Abdullah. “*#Virus_Corona_dalam_Tamar*”
-
Berita Harian. “Kurma tak dicemar coronavirus”. Diterbitkan pada 20 Mei 2017
-
Sebenarnya.my. “Buah Kurma Dari Timur Tengah Dijangkiti Virus ‘Corona’?”. Diterbitkan pada Mei 2017