UDA sumbang RM27,000 raikan anak yatim, asnaf beli kelengkapan Aidilfitri
JOHOR BAHRU, 21 April (Bernama) -- UDA Holdings Bhd meraikan anak-anak yatim dan asnaf di bandar raya ini dengan memperuntukkan sumbangan berjumlah RM27,000 sebagai persediaan mereka untuk menyambut perayaan Aidilfitri yang bakal tiba.
Pengerusi UDA Datuk Norliza Abdul Rahim berkata sumbangan itu diberikan dalam bentuk barangan kelengkapan Aidilfitri seperti baju raya, kasut dan juga duit raya.
Beliau berkata seramai 90 anak yatim dan asnaf dari Rumah Perlindungan Fitrah Qaseh, di sini menerima manfaat sumbangan RM300 setiap seorang.
“Semoga sumbangan kecil yang UDA salurkan ini dapat mengukir senyuman besar di wajah anak-anak ini dan mereka lebih seronok serta ceria menyambut kemeriahan Aidilfitri pada tahun ini,” katanya pada sidang media Majlis Syukuri Ramadan di Angsana Johor Bahru Mall, di sini semalam.
Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif UDA Mohd Salem Kailany.
Terdahulu, Norliza berkata seramai 40 anak-anak yatim dan asnaf dari rumah perlindungan itu dibawa membeli-belah di Angsana Johor Bahru Mall, dan selebihnya lagi esok.
“Tujuan kita adalah mahukan mereka yang kurang bernasib baik tetap dapat meraikan Syawal dengan meriah.
“Tambahan pula negara dalam Fasa Peralihan ke Endemik, jadi sudah tentunya semua teruja hendak beraya, justeru kita mahu anak-anak ini turut diberi perhatian menerusi program tanggungjawab sosial korporat UDA Cares,” katanya.
Penghuni rumah Fitrah Qaseh, Dani Jais, 10, yang kehilangan ibu tercinta akibat serangan jantung ketika dia berusia dua tahun berkata sumbangan itu memberikan keceriaan buatnya dan adik Noraishah Zaharah, 9, untuk menyambut Aidilfitri tahun ini dengan lebih meriah.
“Seronok dapat baju dan kasut raya baharu, tidak sabar hendak pakai pada hari raya nanti.
“Tahun ini saya dan adik cuba untuk berpuasa penuh jadi apabila sambut Aidilfitri nanti lebih bermakna,” katanya.
-- BERNAMA