Bernama sampaikan sumbangan Ikhlas Ramadan di Terengganu

22/04/2022 05:52 PM

KUALA TERENGGANU, 22 April (Bernama) -- Prihatin dengan nasib golongan kurang berkemampuan, Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) hari ini tampil menyampaikan sumbangan kepada penghuni Pusat Pertubuhan Baitul Sakinah di sini menerusi program Ikhlas Ramadan.

Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Bernama Roslan Ariffin berkata sumbangan makanan dan barangan keperluan asas itu diharap dapat memberi keceriaan kepada 28 penghuni di rumah kebajikan tersebut.

“Hari ini seramai 10 orang wakil dari ibu pejabat Bernama tiba di Terengganu untuk menyampaikan sumbangan Ikhlas Ramadan yang sedikit sebanyak membantu penghuni rumah ini di bulan puasa dan melakukan persiapan Hari Raya Aidilfitri.

“Sumbangan seperti beras, minyak masak, pek makanan dan tuala ini adalah daripada individu dan syarikat-syarikat korporat,” katanya ketika ditemui pada program berkenaan.

Turut hadir Ketua Penyiaran (TV dan Radio) Bernama D.Arul Rajoo.

Roslan berkata Bernama akan terus berusaha memperbanyakkan program tanggungjawab sosial seumpama ini supaya lebih ramai golongan kurang berkemampuan dapat dibantu.

Beliau berkata selain Terengganu, Bernama akan menjelajah ke negeri-negeri lain untuk menyampaikan sumbangan sempena Ramadan dan Aidilfitri.

Sementara itu, Pengurus Pusat Pertubuhan Baitul Sakinah Aqilah Alashari menzahirkan penghargaan kepada Bernama yang prihatin terhadap nasib penghuni di rumah kebajikan itu.

“Terima kasih tidak terhingga kepada Bernama kerana sudi datang dari jauh untuk menyampaikan amanat orang kepada kami. Semoga semua pihak yang memberikan sumbangan ini sentiasa diberkati dan dimurahkan rezeki,” katanya.

Sakinah Aqilah berkata 28 penghuni di rumah tersebut berusia tiga hingga 18 tahun dan mereka merupakan anak yatim, golongan asnaf dan fakir miskin.

-- BERNAMA