Wisma MUIS lokasi pilihan persiapan Aidilfitri warga Kota Kinabalu
KOTA KINABALU, 23 April (Bernama) -- Wisma Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) menjadi antara lokasi pilihan penduduk di sekitar bandar raya ini untuk membeli barang keperluan sebagai persiapan menyambut Aidilfitri yang akan menjelang tidak lama lagi.
Tinjauan Bernama di Wisma MUIS di sini mendapati orang ramai termasuk dari luar daerah mengambil peluang cuti hujung minggu untuk membawa keluarga mereka membeli kelengkapan hari raya seperti baju kurung, baju Melayu, songkok, tudung dan biskut raya dengan mengunjungi gedung yang terletak berhampiran Masjid Negeri itu seawal 9 pagi.
Seorang penjawat awam Kamarudin Minin, 59, dari Petagas berkata beliau memilih Wisma MUIS sebagai lokasi untuk membeli-belah persiapan Aidilfitri kerana rata-rata peniaga menawarkan pelbagai pilihan baju Melayu dan kuih-muih.
”Hari ini sangat luar biasa kerana ramai mengunjungi Wisma MUIS untuk membuat persiapan awal dan saya berharap kita semua dapat mengikuti prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan dan menjaga penjarakan fizikal bagi mengelak penularan COVID-19,” katanya kepada Bernama.
Seorang lagi pengunjung Mazuin Mustapa, 43, dari Papar berkata sudah menjadi kelazimannya membeli barang keperluan hari raya seperti baju kurung dan kuih raya di Wisma MUIS kerana selain banyak pilihan, harga ditawarkan juga sangat berpatutan.
“Persiapan hari raya pada tahun ini agak meriah berbanding dua tahun sebelumnya, tetapi tetap sederhana seperti beli kuih-muih sebab ada perancangan buat (majlis) rumah terbuka kecil-kecilan," katanya yang akan membelanjakan kira-kira RM1,000 untuk persiapan menyambut Aidilfitri tahun ini.
Bagi Mohd Azmi Rajamudin, 43, dari Inanam, kelonggaran diberikan kerajaan ketika ini digunakan sepenuhnya untuk membeli baju kurung dan baju Melayu untuk anak-anaknya memandangkan dua tahun sebelum ini tiada persiapan dibuat bagi menyambut Aidilfitri berikutan SOP yang ketat.
"Dalam dua tahun kebelakangan ini tiada apa-apa persiapan dibuat kerana hanya duduk di rumah. Jadi, dengan ada sedikit kebebasan, saya membawa keluarga ke Wisma MUIS untuk membeli persiapan Aidilfitri kerana banyak pilihan baju yang cantik tapi tetap murah dan berbaloi," katanya.
Sementara itu, seorang peniaga Mohd Nafi Saiful Bakri, 24, yang menjual kurta berkata sambutan pengunjung sangat meriah terutama setiap hujung minggu dan beliau menyasarkan lebih 500 helai kurta akan terjual pada musim perayaan ini.
"Saya sangat gembira dan senang hati kerana sekurang-kurangnya ada rezeki sepanjang Ramadan ini memandangkan sudah dua tahun tidak berjual," katanya yang menjual kurta pada harga RM75 dan RM85 sehelai.
Perasaan sama turut dikongsikan seorang lagi peniaga kuih-muih Hasnah Sarif, 47, yang berkata cuti hujung minggu sememangnya dinantikan kerana penduduk dari luar Kota Kinabalu akan datang berkunjung ke Wisma MUIS bagi membeli-belah untuk persiapan Aidilfitri.
Hasnah turut membuat pakej promosi kuih raya pada harga RM100 untuk tiga balang besar dan RM100 (lima balang kecil) supaya orang ramai dapat membeli kuih raya untuk dihidangkan kepada para tetamu Aidilfitri nanti.
-- BERNAMA