Serondeng resipi istimewa dari Melaka

27/04/2022 11:15 AM

KUALA LUMPUR, 27 April (Bernama) --  Setiap tahun, serondeng menjadi juadah kegemaran untuk dihidangkan kepada tetamu bersama ketupat, lemang dan nasi himpit.

Menyedari tingginya permintaan terhadap makanan tradisi itu, Siti Noorikha Mahbob, 38, mengambil keputusan meneruskan legasi keluarganya dalam perniagaan serondeng sejak hampir 40 tahun lepas.

Menggunakan jenama sendiri Khaliff Bakery, anak kelahiran Bukit Katil, Melaka ini berkata serondeng warisan turun-temurun itu menggunakan resipi istimewa bapanya, Mahbob Jonid, 65, yang banyak dipengaruhi masakan Melaka.

“Menariknya, resipi ciptaan bapa saya ini sangat mementingkan rasa yang pedas dan berempah bagi membangkitkan aroma dan bau agar lebih menarik perhatian penggemar serondeng.

“Tujuannya untuk memberi kelainan berbanding serondeng sedia ada terutamanya dari Pantai Timur melalui rasanya yang seimbang antara masin, manis dan pedas diadun bersama rempah bersesuaian,” katanya kepada Bernama.

Menghasilkan dua jenis serondeng iaitu ayam dan daging, Siti Noorikha berkata serondeng buatan bapanya itu mempunyai pengikutnya tersendiri dan hanya dijual di Jalan Tuanku Abdul Rahman (TAR) ketika Ramadan selain boleh didapati secara dalam talian pada hari-hari biasa.

Malah, pelanggan yang datang ke gerainya bukan sahaja masyarakat kota sekitar Lembah Klang bahkan turut diminati pelancong luar antaranya dari Sabah, Sarawak, Brunei dan Singapura.

“Biasanya, proses penghasilan serondeng untuk dijual pada Ramadan bermula lebih awal, kira-kira sebulan sebelum kedatangan bulan puasa. Jualan pada bulan puasa juga sangat memberangsangkan.

“Bagi memastikan kesegarannya, pengeluaran hanya dilakukan  mengikut permintaan sekali gus mengelakkan lebihan,” katanya yang turut menggunakan bantuan mesin bagi menjimatkan masa pengeluaran.

Menurutnya, serondeng yang dihasilkan bapanya itu mampu bertahan sehingga enam ke lapan bulan bergantung tahap penjagaan dan penyimpanannya.

“Pantang utama dalam menjaga serondeng supaya tahan lama adalah mengelakkannya daripada terkena air agar tidak berkulat dan simpankannya dalam bekas kedap udara,” katanya yang turut menghasilkan sotong sira, rendang tok dan ketupat palas.

Pada masa sama, katanya, walaupun menghadapi masalah kenaikan harga barangan mentah, pihaknya masih mengekalkan harga serondeng tersebut dengan harga RM100 bagi setiap sekilogram sejak tiga tahun lepas.

-- BERNAMA