Bank Muamalat Raikan Anak Yatim & Pelajar Maahad Tahfiz Sempena Ramadan di Lokasi Berbeza

29/04/2022 02:00 PM

KUALA LUMPUR, 29 April (Bernama) -- Bank Muamalat Malaysia Berhad (Bank Muamalat) meraikan lebih daripada 250 tetamu istimewa anak yatim dan pelajar Maahad Tahfiz pada majlis berbuka puasa yang diadakan sempena bulan Ramadan 1443 Hijrah. Lima majlis berasingan diadakan di Kuala Lumpur, Johor Bahru, Johor, Kota Bharu, Kelantan, Sungai Petani, Kedah dan Kota Kinabalu, Sabah. Para tetamu terdiri daripada anak-anak Pusat Jagaan Cahaya Kasih Bestari, Pertubuhan Pusat Jagaan Kebajikan Kesayangan Kasih Abadi, Rumah Perlindungan Fitrah Qaseh, Maahad Tahfiz Al-Quran Al-Uzma Lil Aitam, Pertubuhan Kebajikan Anak-Anak Yatim Kelantan (PEKAYATIM), Pusat Jagaan Kasih Abadi, Rumah Anak Yatim As-Sakinah dan Rumah Transit Mualaf Sabah.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Bank Muamalat, Khairul Kamarudin berkata majlis tersebut menjadi platform untuk berkongsi kegembiraan bersama insan yang memerlukan dalam menyambut kehadiran Syawal yang bakal menjelang.