32 anak yatim diraikan dalam majlis buka puasa Boraombak

29/04/2022 09:02 PM

PUTRAJAYA, 29 April (Bernama) -- Seramai 32 orang anak yatim daripada Rumah Bakti Al-Kausar, Bandar Baru Bangi, Selangor diraikan dalam majlis berbuka puasa anjuran Boraombak Sdn Bhd malam ini.

Pada majlis itu, Boraombak turut menyerahkan sumbangan berjumlah RM10,813 kepada Pengurus Rumah Bakti Al-Kausar Airol Faraqee Abu Bakar yang disampaikan oleh Pengerusi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Senator Datuk Ras Adiba Radzi.

Ras Adiba yang juga Pengerusi OKU Sentral berkata beliau berbesar hati dapat bersama anak-anak yatim yang berusia dalam lingkungan tujuh hingga 17 tahun itu dan memberi sokongan kepada Rumah Bakti Al-Kausar.

"Sebelum ini saya membawa sahabat-sahabat OKU (Orang Kurang Upaya) tetapi pada hari ini saya berbesar hati kerana dapat memberi sokongan buat mereka.

“Terima kasih Boraombak kerana ini adalah sesuatu yang begitu bermakna pada akhir Ramadan ini," katanya pada majlis itu.

Pengarah Operasi Boraombak Afrizal Zamzami berkata sumbangan yang diberikan itu adalah hasil jualan bufet syarikat tersebut sepanjang bulan puasa tahun ini.

"Alhamdulillah, slot buka puasa di Boraombak Marina Putrajaya terjual sepenuhnya dan hasil jualan itu kami kembalikan kepada mereka yang memerlukan.

"Ini merupakan antara program tanggungjawab sosial korporat (CSR) syarikat kami dan diharap sumbangan ini dapat membantu mencukupkan apa-apa yang diperlukan Rumah Bakti Al-Kausar, di samping menggembirakan anak-anak yatim ini," katanya.

-- BERNAMA