Takaful Ikhlas semarakkan sambutan Ramadan, Aidilfitri dengan program kemasyarakatan
KUALA LUMPUR, 29 April (Bernama) -- Takaful Ikhlas Family Berhad (Takaful IKHLAS), anak syarikat milik penuh MNRB Holdings Berhad (MNRB), menyemarakkan sambutan Ramadan dan Aidilfitri tahun ini dengan pelbagai program kemasyarakatan bagi menceriakan golongan sasaran.
Takaful Ikhlas dalam kenyataan hari ini memaklumkan sumbangan bekalan makanan ‘IKHLAS Barakah Box’ kepada 200 keluarga mualaf terpilih di sekitar Kuala Lumpur, Selangor dan Melaka adalah antara program yang dijalankan bagi tujuan itu.
“IKHLAS Barakah Box ini adalah program hasil usaha sama di antara Takaful IKHLAS dan Persatuan Inspirasi Mualaf.
“Ia juga adalah antara aktiviti di bawah IKHLAS Barakah House bertujuan menjana pembangunan dan kelestarian masyarakat yang positif melalui bantuan kewangan dan aktiviti seperti pemerkasaan bidang pendidikan, ekonomi, masyarakat, kesihatan dan alam sekitar,” menurut kenyataan itu.
Menurut Takaful Ikhlas, pihaknya telah menyedia dan mengagihkan lebih 2,500 bungkusan bubur lambuk kepada petugas barisan hadapan di Pusat Perubatan Universiti Malaya serta orang awam baru-baru ini sebagai menghargai pengorbanan mereka yang telah bekerja keras menjaga kesihatan dan kesejahteraan pesakit.
Penyerahan sumbangan bubur lambuk itu disempurnakan oleh Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MNRB Holdings Berhad Zaharudin Daud bersama Pengarah Pusat Perubatan Universiti Malaya Profesor Dr Nazirah Hassan, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Takaful Ikhlas General Berhad Datuk Rodzila Che Lamin serta Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Takaful Ikhlas Family Berhad Muhammad Fikri Mohamad Rawi.
Takaful Ikhlas memaklumkan pihaknya juga telah menyerahkan sumbangan sebanyak RM5,000 kepada Masjid Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur bagi membantu menjayakan program anjuran masjid itu sepanjang bulan Ramadan tahun ini.
-- BERNAMA