DPPMT bantu tingkatkan kesedaran usahawan Terengganu guna e-dompet

08/05/2022 11:03 AM

KUALA TERENGGANU, 8 Mei (Bernama) -- Dewan Perniagaan dan Perindustrian Melayu Terengganu (DPPMT) akan membantu usahawan Perindustrian Kecil dan Sederhana (PKS) meningkatkan lagi penggunaan e-dompet dan e-pembayaran selaras dengan usaha kerajaan untuk mengurangkan transaksi pembayaran secara tunai menjelang 2023.

Timbalan Yang Dipertua DPPMT Dr Tengku Khairi A Rahman berkata pihaknya akan mengadakan program kesedaran untuk usahawan memandangkan kajian yang dilakukan mendapati tahap penggunaannya masih sangat rendah.

"Dalam satu kajian maklum balas e-dompet yang dilakukan pada Mac lepas melibatkan 450 PKS, hanya 32 peratus menggunakan aplikasi itu dalam urus niaga mereka.

"DPPMT juga bersedia berkolaborasi dengan penyedia platform e-dompet untuk mengadakan beberapa siri program taklimat kepada usahawan kecil dan mikro di Terengganu dalam masa terdekat," katanya kepada Bernama hari ini.

Ditanya faktor yang menyebabkan penggunaannya masih rendah, beliau menjelaskan kebanyakan usahawan di Terengganu masih tidak yakin menawarkan pembayaran menggunakan e-dompet kerana ragu-ragu dengan tahap keselamatannya selain tidak pasti dengan kadar komisen yang diperoleh.

"Malah, ada usahawan yang tidak mempunyai pengetahuan mengenai penggunaan e-dompet dan mereka tidak pasti sama ada platform berkenaan dihubungkan terus dengan akaun perniagaan mereka.

"Maklum balas DPPMT mendapati ramai usahawan juga bimbangkan kos penyelenggaraan mesin berkenaan di samping sambungan Internet yang kurang memuaskan menyukarkan urusan pembayaran menggunakan kad," katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata ramai usahawan mengakui dan menyedari kepentingan e-dompet dan e-pembayaran berikutan permintaan pelanggan meningkat sejak Ramadan untuk menggunakan kaedah tersebut.

"Selain itu, penyedia e-dompet dan pihak institusi kewangan juga perlu memperhebatkan program kesedaran untuk golongan usahawan justeru, DPPMT amat mengalu-alukan kerjasama pintar atau kolaborasi bagi merancakkan program taklimat kesedaran untuk usahawan Terengganu," katanya.

-- BERNAMA