PruBSN derma RM50,000 bantu golongan kurang bernasib baik

20/05/2022 05:08 PM

KUALA LUMPUR, 20 Mei (Bernama) -- Prudential BSN Takaful Berhad (PruBSN) menyasar untuk membantu masyarakat B40 dengan mengumpul dana sehingga RM50,000 menjelang 31 Mei ini menerusi kempen Kasih Sayang Milik Semua dalam aplikasi mudah alih kesihatan dan kekayaan yang dikuasakan oleh kecerdasan buatan (AI), Pulse by Prudential (Pulse).

PruBSN dalam kenyataan hari ini memaklumkan orang ramai hanya perlu menderma melalui aplikasi Pulse itu tanpa sebarang bayaran diperlukan, kemudian PruBSN akan menderma RM1 menerusi badan kebajikannya PruBSN Prihatin kepada mereka yang memerlukan, bagi setiap sumbangan yang berjaya dibuat dalam aplikasi itu.

Ketua Pegawai Eksekutif PruBSN Wan Saifulrizal Wan Ismail berkata kempen itu dijalankan untuk menggalakkan orang ramai melakukan kebaikan dan membantu mereka yang kurang bernasib baik.

“Bulan Ramadan dan Syawal sangat istimewa yang menekankan ibadah, muhasabah diri dan kebaikan terhadap manusia.

“Oleh itu, kami berharap dapat menjadi teladan dan menghayati perayaan dengan ibadah,” katanya.

Sementara itu, PruBSN akan mengadakan beberapa aktiviti dalam PruAmanah (Beta) oleh Pulse seperti sesi siaran langsung dan kandungan video eksklusif bagi membantu pengguna Muslim meningkatkan amalan spiritual mereka.

Pengguna Pulse boleh menerokai banyak ciri-ciri gaya hidup Islamik seperti pengesan masjid atau koleksi doa untuk amalan harian.

-- BERNAMA