Trafik antarabangsa di rangkaian lapangan terbang tempatan melonjak 53 peratus - MAHB

23/05/2022 02:10 PM

KUALA LUMPUR, 23 Mei (Bernama) -- Trafik antarabangsa di rangkaian lapangan terbang tempatan Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) meningkat sebanyak 53 peratus susulan pembukaan semula sempadan pada 1 April, 2022.

MAHB yang menguruskan dan mengendalikan 39 lapangan terbang di negara ini menjelaskan, ia telah merekodkan purata 23,000 pergerakan penumpang antarabangsa setiap hari, dengan trafik memuncak melebihi 30,000 semasa cuti perayaan Aidilfitri yang panjang baru-baru ini.

“Secara keseluruhannya, lapangan-lapangan terbang merekodkan 642,128 pergerakan penumpang antarabangsa, di mana Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu, Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang dan Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi menunjukkan peningkatan paling ketara -- masing-masing lebih 200 peratus berbanding bulan sebelum ini,” menurut MAHB dalam kenyataan pada Isnin.

Ia menambah, sejumlah 2.78 juta penumpang direkodkan bagi Malaysia pada April, dengan pergerakan penumpang domestik sebanyak 2.13 juta atau 77 peratus.

Dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia, MAHB menjelaskan menjelang akhir April, purata pergerakan penumpang harian antarabangsa dan domestik masing-masing meningkat sebanyak 31 peratus dan 87 peratus bulan ke bulan.

Purata pergerakan penumpang domestik harian Malaysia melepasi paras 100,000 buat kali pertama, dengan lebih 131,000 purata penumpang harian dalam empat hari terakhir April, menurutnya.

Momentum itu berterusan sehingga sembilan hari pertama Mei, dengan merekodkan purata 128,600 penumpang harian.

“(Sebagai perbandingan,) purata penumpang harian yang dicatatkan bagi tempoh Januari 2022 hingga Mac 2022 ialah kira-kira 81,000 penumpang,” tambah MAHB dalam kenyataan itu.

Menurut kenyataan MAHB yang dikeluarkan hari ini, bagi operasi Malaysia dan Turki (Lapangan Terbang Antarabangsa Sabiha Gokcen Istanbul), MAHB merekodkan 4.90 juta pergerakan penumpang pada April, penurunan sebanyak 7.9 peratus daripada angka pada Mac.

“Penurunan pergerakan penumpang ini kerana April merupakan bulan suci Ramadan yang menyaksikan permintaan untuk perjalanan di dalam dan di seluruh dunia berkurangan.

“Daripada jumlah pergerakan trafik penumpang sebanyak 4.89 juta, lapangan terbang tempatan di Malaysia menyumbang 57 peratus, manakala Lapangan Terbang Antarabangsa Sabiha Gokcen Istanbul di Turki mencatatkan 2.13 juta penumpang, terdiri daripada 1.05 juta penumpang antarabangsa dan 1.08 juta penumpang domestik,” jelasnya.

Menurut MAHB, lima syarikat penerbangan menyambung semula 17 laluan antarabangsa bulan lepas iaitu Vietjet Air, Scoot, AirAsia, Thai AirAsia dan AirAsia X.

Pengarah Urusan, Datuk Iskandar Mizal Mahmood berkata pihaknya juga gembira kerana lapangan terbang landasan pendek Tioman (TOD) telah beroperasi semula pada bulan ini untuk menyediakan laluan Lapangan Terbang Subang-TOD bagi SKS Airways.

Beliau berkata pada masa ini SKS Airways merupakan satu-satunya syarikat penerbangan dengan perkhidmatan berjadual yang terbang di laluan ini empat kali seminggu.

“Kami akan terus bekerjasama rapat dengan syarikat penerbangan rakan kongsi untuk mempercepat kadar pemulihan sektor domestik dan antarabangsa,” katanya dalam kenyataan yang sama.

Vietjet menawarkan penerbangan bagi laluan Ho Chi Minh City-Kuala Lumpur (KUL) dengan perkhidmatan empat kali seminggu dan merupakan syarikat penerbangan keempat yang terbang di laluan ini manakala Scoot menyambung semula perkhidmatan penerbangan hariannya untuk laluan Kota Kinabalu-Singapura.

Sementara itu, kumpulan syarikat penerbangan AirAsia, termasuk AirAsia Bhd, Thai AirAsia dan AirAsia X, menyambung semula laluan Kota Kinabalu-Singapura; KUL-Hanoi; Langkawi-Singapura; Ipoh-Singapura; Hatyai-KUL; Don Mueng-Pulau Pinang; KUL-Incheon; KUL-New Delhi; KUL-Ho Chi Minh City; KUL-Bengaluru; KUL-Kolkata; KUL-Kochi; KUL-Chennai; KUL-Tiruchirappall dan KUL-Siem Reap.

-- BERNAMA