N.Sembilan bawa usul bekukan kenaikan cukai, sewa, caj

09/08/2022 06:32 PM

SEREMBAN, 9 Ogos (Bernama) -- Kerajaan Negeri Sembilan hari ini membawa usul membekukan sebarang kenaikan kadar dalam apa jua cukai, sewa, caj dan bayaran di bawah pihak berkuasa negeri (PBN) dan pihak berkuasa tempatan (PBT) seluruh negeri sehingga inflasi dapat dikawal.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chennah Anthony Loke Siew Fook ketika membentangkan usul itu berkata langkah tersebut adalah bagi membantu mengurangkan perbelanjaan rakyat yang dibebani peningkatan kos barangan ketika ini sehingga menyebabkan tekanan hidup.

“Ini termasuklah cukai pintu, tanah dan sewa rumah. Kesan inflasi dan kos sara hidup yang membelenggu bukan sahaja dirasai negara kita tetapi seluruh dunia, ditambah pula kebanyakan negara baru sahaja pulih daripada COVID-19 selepas lebih dua tahun.

“Kalau setahun, dua tahun lepas apa yang paling membimbangkan jika ditanya, jawapannya sudah tentu COVID-19, tetapi sekarang ini trend itu sudah berubah, kenaikan harga barangan merupakan hakikat yang tidak boleh dipertikaikan,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Seremban itu berkata demikian pada Persidangan Kedua Penggal Kelima DUN Negeri Sembilan yang ke-14 hari ini.

Loke berkata jabatan kerajaan perlu dioptimumkan untuk bekerjasama dengan pusat khidmat wakil rakyat tanpa mengira parti politik, termasuk mewujudkan sekretariat bagi mengkoordinasikan kedua-dua entiti berkenaan.

“Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna negeri boleh berunding dengan pemborong untuk dapatkan barangan secara pukal dengan harga murah dan dapat jual dengan harga murah, selain subsidi daripada wakil rakyat untuk bantu masyarakat,” katanya.

Selain itu, beliau berkata kerajaan negeri perlu menubuhkan pasukan petugas untuk menangani masalah banjir dengan kerjasama Kementerian Tenaga dan Sumber Asli serta Jabatan Pengairan dan Saliran, supaya tidak memberi tekanan kepada rakyat.

“Banjir kilat turut menyumbang kepada peningkatan kos sara hidup rakyat, ini kerana apabila barangan dan rumah mereka rosak susulan banjir, mereka terpaksa membeli barang baru yang mana perbelanjaan tidak jangka ini tiada dalam bajet mereka,” katanya.

Senada dengannya, Datuk L Manickam (BN-Jeram Padang) berkata kerajaan negeri perlu mengelakkan karenah birokrasi dalam perkara melibatkan rakyat, termasuk menyegerakan kelulusan lesen-lesen yang dipohon peniaga, selain menyalurkan bantuan kepada sekolah dan badan bukan kerajaan.

Dalam pada itu, Datuk Abdul Rahman Mohd Redza (BN-Linggi) mencadangkan kerajaan negeri, menerusi Syarikat Air Negeri Sembilan (SAINS), agar lebih bertoleransi dengan pengguna yang mempunyai bil air tertunggak dengan memberikan tempoh masa tertentu bagi pembayaran bil atau secara ansuran.

Jelasnya, beliau menerima aduan daripada penduduk yang memerlukan masa untuk membuat pembayaran dan berharap pihak SAINS memberikan notis terlebih dahulu sebelum membuat pemotongan.

Mary Josephine Prittam Singh (PH-Rahang) pula berkata kenaikan harga barang serta kos sara hidup ketika ini memberi tekanan kepada ketua isi rumah yang perlu menampung keluarga.

Beliau berkata ketua keluarga terpaksa bekerja lebih masa untuk menanggung keperluan isi rumah termasuk pendidikan, selain mengorbankan masa berkualiti bersama keluarga.

Selain itu, Yap Yew Weng (PH-Mambau) berkata terdapat penduduk di kawasannya terpaksa berebut-rebut membeli barangan murah, selain ada dalam kalangan mereka memohon bantuan kewangan untuk membayar sewa rumah.

“Kos sara hidup yang tinggi ketika ini sangat menghimpit rakyat, hampir setiap bulan rakyat di kawasan memohon bantuan bakul makanan. Kerajaan negeri perlu mencari pendekatan terbaik dalam membantu rakyat,” katanya

Persidangan bersambung esok.

-- BERNAMA