Hasil sektor perkhidmatan tumbuh 25.2 peratus kepada RM506.5 bilion bagi suku kedua 2022

11/08/2022 04:34 PM

KUALA LUMPUR, 11 Ogos (Bernama) -- Jumlah hasil sektor perkhidmatan merekodkan RM506.5 bilion bagi suku kedua 2022, dan angka itu adalah pertumbuhan 25.2 peratus berbanding suku tahun yang sama tahun 2021.

Menurut kenyataan Jabatan Perangkaan Malaysia (DoSM) pada Khamis, prestasi ini disumbangkan oleh segmen perdagangan borong dan runcit, makanan dan minuman serta penginapan yang menyaksikan hasil meningkat 26.1 peratus kepada RM409.3 bilion.

Hasil segmen maklumat dan komunikasi serta pengangkutan dan penyimpanan meningkat 21.3 peratus kepada  RM72.7 bilion, tambahnya.

Sementara itu, hasil berjumlah RM15.1 bilion dijana daripada segmen kesihatan, pendidikan serta seni, hiburan dan rekreasi dengan pertumbuhan 24.4 peratus berbanding suku kedua 2021, manakala hasil segmen profesional dan ejen hartanah melonjak 20 peratus kepada RM9.9 bilion.

Berdasarkan suku tahunan, DoSM menjelaskan jumlah hasil sektor perkhidmatan meningkat 7.1 peratus atau RM33.8 bilion.

Menurut jabatan itu, jumlah orang yang bekerja dalam sektor ini meningkat 4.9 peratus atau 177,600 orang kepada 3.8 juta orang berbanding tempoh yang sama tahun sebelumnya.

Sebagai perbandingan suku tahunan, DoSM menambah bilangan orang yang bekerja meningkat 0.9 peratus atau 35,300 orang.

Menurut DOSM gaji dan upah yang dibayar pada suku kedua 2022 meningkat 9.3 peratus atau RM2.2 bilion berbanding dengan suku yang sama tahun lepas, dan meningkat 1.7 peratus berbanding suku pertama 2022 hingga mencecah RM25.8 bilion.

Dalam satu kenyataan berasingan, DoSM memaklumkan indeks volum sektor perkhidmatan berkembang 16.7 peratus kepada 136.3 mata pada suku kedua 2022 berbanding 116.8 mata pada suku kedua 2021.

Peningkatan itu didorong oleh pertumbuhan positif yang dicatatkan empat segmen iaitu perdagangan borong dan runcit; makanan dan minuman serta penginapan (22.3 peratus); perkhidmatan perniagaan dan kewangan (7.7 peratus); maklumat dan komunikasi serta pengangkutan dan penyimpanan (16.4 peratus), dan perkhidmatan lain (18.6 peratus).

Sebagai perbandingan suku tahunan, indeks volum perkhidmatan mengalami peningkatan 3.1 peratus kepada 136.3 mata berbanding 132.2 mata pada suku pertama 2022.

Jabatan itu menerangkan peningkatan itu dipacu oleh pertumbuhan segmen perdagangan borong dan runcit, makanan dan minuman serta penginapan (5.7 peratus); maklumat dan komunikasi serta pengangkutan dan penyimpanan (2.9 peratus); dan perkhidmatan lain (2.4 peratus).

"Sebaliknya, segmen perkhidmatan perniagaan dan kewangan menunjukkan pertumbuhan negatif satu peratus,” jelasnya.

DoSM menambah indeks volum pelarasan musim sektor perkhidmatan meningkat 7.1 peratus kepada 141.1 mata pada suku kedua 2022.

-- BERNAMA