FDI Malaysia naik RM24.1 bilion kepada RM836.2 bilion pada suku kedua 2022

12/08/2022 03:41 PM

KUALA LUMPUR, 12 Ogos (Bernama) -- Kedudukan pelaburan langsung asing (FDI) di Malaysia berkembang sebanyak RM24.1 bilion untuk mencatatkan RM836.2 bilion pada akhir suku kedua 2022 berbanding RM812.1 bilion pada suku pertama tahun ini.

Dalam laporan yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia, sektor pembuatan kekal sebagai penerima tertinggi dengan nilai sebanyak RM360.0 bilion atau 43.1 peratus, diikuti oleh aktiviti kewangan sebanyak 22.7 peratus (RM189.8 bilion) serta perdagangan borong dan runcit mencatatkan 6.3 peratus (RM53 bilion).

Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata sumber kedudukan FDI terutamanya adalah dari rantau Asia berjumlah RM431.1 bilion atau 51.6 peratus khususnya dari Singapura dan Hong Kong, diikuti Eropah dan Amerika.

“Singapura kekal sebagai FDI terbesar, mencatatkan 20.8 peratus atau RM174.1 bilion, diikuti Hong Kong sebanyak 10.9 peratus (RM91.1 bilion), Amerika Syarikat menyumbang 10.8 peratus (RM90 bilion) dan Jepun mencatatkan 10.3 peratus (RM84.2 bilion),” katanya.

Sementara itu, kedudukan pelaburan antarabangsa Malaysia (IIP) mencatatkan aset bersih sebanyak RM62 bilion pada suku tahun tersebut berbanding aset bersih sebanyak RM47.3 bilion pada suku pertama. 

Jumlah aset kewangan dan liabiliti, masing-masing naik kepada RM2,164.8 bilion dan RM2,102.8 bilion.

Kedudukan pelaburan langsung Malaysia di luar negeri (DIA) meningkat kepada RM577.4 bilion berbanding RM551.7 bilion pada akhir suku tahun sebelumnya.

Pelaburan ini terutamanya disumbangkan oleh aktiviti kewangan yang merangkumi 42.5 peratus atau RM245.2 bilion, diikuti sektor perlombongan dan pengkuarian (12.4 peratus) dan pembuatan (9.7 peratus). 

Tiga destinasi utama untuk kedudukan DIA ialah Singapura dengan nilai sebanyak RM118 bilion atau 20.4 peratus, diikuti Indonesia (RM59.8 bilion; 10.4 peratus) dan Kepulauan Cayman (RM35.5 bilion; 6.1 peratus).

-- BERNAMA