Platform IKHLAS Capital A rancang manfaatkan pasaran Indonesia tahun depan
KUALA LUMPUR, 20 Okt (Bernama) -- IKHLAS, platform kembara dan gaya hidup patuh Syariah Capital A merancang untuk memanfaatkan pasaran Indonesia tahun dengan menawarkan pakej umrah dan pelancongan halalnya.
Ketua Pegawai Eksekutif IKHLAS, Ikhlas Kamarudin berkata syarikat itu melihat permintaan yang besar di Indonesia dan menjangka melancarkan produknya di sana seawal Mei 2023.
“Saya merasakan kami perlu mempersiapkan produk terlebih dahulu sebelum memasuki pasaran Indonesia. Menjelang tahun depan, harap-harapnya sebelum Ramadan atau mungkin pada bulan Ramadan kami akan melancarkan produk kami di sana,” katanya kepada pemberita pada majlis pelancaran platform IKHLAS itu di sini, hari ini.
Ikhlas berkata platform itu menyasar memperoleh sekurang-kurangnya satu juta pengguna dalam tempoh tahun pertama pelancarannya.
IKHLAS menawarkan produk yang selesa, mampu milik bagi orang Islam untuk mengerjakan ibadah mereka serta gaya hidup patuh Syariah.
Antara penawaran utama IKHLAS adalah pakej Umrah IKHLAS yang mampu milik secara usaha sama dengan pengelola umrah berlesen Ikhlas Com Travel and Umrah Sdn Bhd.
IKHLAS mula beroperasi pada April 2020 dan mengambil peluang dalam tempoh pandemik tersebut untuk memangkin pertumbuhan sebagai platform pelancongan dan gaya hidup mesra Muslim yang menyeluruh di bawah airasia Super App.
Didorong oleh pembukaan semula penerbangan AirAsia X ke Jeddah dan banyak lagi destinasi menarik, IKHLAS kini boleh menawarkan pelbagai pakej umrah dan pelancongan lain yang mampu milik.
Perkhidmatan lain yang ditawarkan menerusi platform tersebut termasuklah akses digital kepada amalan berlandaskan syariat Islam seperti ibadah qurban, zakat dan perkhidmatan gaya hidup patuh Syariah seperti aqiqah, fidyah dan sedekah.
IKHLAS juga menawarkan pelbagai pakej umrah bermula harga serendah RM 5,990.
Pakej Umrah Lite, Umrah Jejak Rasul dan Umrah Hawa dengan penerbangan AirAsia X secara terus dari Kuala Lumpur ke Jeddah dijadualkan berlepas mulai 16 November, 2022.
Pakej Umrah Lite serendah RM5,990 selama 9 hari 7 malam dijadualkan berlepas mulai 19 November, 2022 sementara pakej Umrah Jejak Rasul (RM7,890) selama 12 hari 10 malam berlepas mulai 16 November, 2022 dan Umrah Hawa (RM7,690) selama 13 hari 11 malam mulai 21 Disember, 2022.
"Selain pakej umrah yang ditawarkan ketika ini, IKHLAS juga akan memperkenalkan pilihan pelancongan dan umrah yang fleksibel di mana para pengguna dan bakal jemaah boleh memilih penerbangan, hotel, aktiviti dan tambahan lain yang khusus memenuhi keperluan mereka,” kata Ikhlas.
-- BERNAMA