Indonesia kurangkan eksport minyak sawit untuk bekalan tempatan

06/01/2023 04:42 PM

JAKARTA, 6 Jan (Bernama) -- Indonesia, pengeluar minyak sawit terbesar dunia akan mengurangkan eksport komoditi itu dan mengetatkan dasar yang menetapkan syarikat menyimpan lebih banyak bekalan dalam negara.

Kerajaan mengurangkan jumlah yang boleh dieksport oleh pengeluar kepada enam kali ganda keperluan jualan domestik berbanding lapan kali ganda pada masa ini, lapor Agensi Berita Vietnam (VNA) memetik kenyataan Budi Santoso, Ketua Pengarah Perdagangan Luar di Kementerian Perdagangan Indonesia.

Perubahan itu berkuat kuasa mulai 1 Jan, katanya.

VNA juga melaporkan Firman Hidayat, seorang pegawai di Kementerian Penyelarasan Hal Ehwal Maritim dan Pelaburan, berkata kerajaan Indonesia mahu memastikan bekalan domestik mencukupi semasa cuti Ramadan dan Aidilfitri pada April memandangkan pengeluaran akan merosot mengikut musim pada suku pertama.

Pengurangan eksport minyak sawit di Indonesia sebaliknya telah menjejaskan harga di Malaysia, pengeksport kedua terbesar dunia bagi komoditi itu.

Langkah itu mungkin mendorong Malaysia untuk menaikkan harga dan eksport.

-- BERNAMA