Bas pelancong diingatkan sentiasa guna pemandu pelancong

12/01/2023 08:29 AM

MELAKA, 12 Jan (Bernama) -- Pengusaha dan pengendali bas pelancong diingatkan agar sentiasa melantik pemandu pelancong yang diiktiraf apabila khidmat bas mereka digunakan.

Pengarah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) Melaka Jay Yeow berkata ini penting bagi memastikan pengusaha tidak dikenakan kompaun di bawah Akta Industri Pelancongan berkaitan. 

"Minggu lepas ada kita ada buat operasi bersepadu dengan pihak kementerian pelancongan Putrajaya, Negeri Sembilan dan Johor serta Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Melaka.

"Daripada 20 bas pelancong yang masuk ke Melaka, lima bas telah dikompaun maksimum RM5,000 kerana tidak menggunakan perkhidmatan pemandu pelancong," katanya kepada pemberita ketika hadir di majlis pelancaran menu berbuka puasa Ramadan Hotel Imperial Heritage malam tadi.

Katanya di Melaka terdapat 170 pemandu pelancong berdaftar dan kelebihan menggunakan mereka adalah mereka mempunyai senarai nama pelancong dibawa dan itinerari program, sekiranya ditahan agensi penguat kuasa atau berlaku insiden tidak diingini.

"Bagaimanapun sekiranya bas pelancong atau grab persiaran mereka tidak membawa pelancong, mereka tetap perlu dapatkan pelepasan sekiranya tidak mahu menggunakan pemandu pelancong.

"Contohnya seperti pihak sekolah atau agensi yang guna bas pelancong tetapi bukan tujuan melancong, seperti ada program sekolah," katanya. 

Beliau juga meminta orang ramai tampil membuat aduan di Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA) MOTAC di pautan https://motac.spab.gov.my dalam usaha memudahkan pelaksanaan penguatkuasaan.

"Kita ada terima banyak laporan berkaitan bas pelancong yang tidak menyediakan pemandu pelancong namun maklumat diberikan tidak lengkap seperti bas apa dan di mana. 

"Ini menyukar pihak kami membuat siasatan dan untuk itu, kita harap pengadu gunakan SISPAA dan berikan maklumat lengkap," katanya.

-- BERNAMA