Kelab boleh terokai potensi baharu menerusi waktu sepak mula lebih awal - MFL

26/01/2023 05:19 PM

PETALING JAYA, 26 Jan (Bernama) -- Liga Bolasepak Malaysia (MFL) berpandangan semua kelab bakal menerima manfaat menerusi pelaksanaan waktu sepak mula pada sebelah petang yang diperkenalkan dalam saingan Liga Malaysia (Liga-M) 2023 bermula 24 Feb ini.

Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Stuart Ramalingam, berkata kelab bertanding berpeluang menerokai peluang, demografi dan kumpulan peminat baharu dengan pelaksanaan waktu sepak mula lebih awal.

“Setiap perkara ada baik dan buruknya tetapi menerusi mata dan risikan MFL, perubahan ini beri satu dimensi baharu dan perubahan yang positif lebih dari negatif.

“Kami berharap kerjasama daripada semua terutama kelab dan penyokong dapat menerima perubahan ini dan pandang ia dari sudut yang positif,” katanya dalam sidang media taklimat kalendar Liga-M 2023 di Wisma FAM (Persatuan Bolasepak Malaysia) di Kelana Jaya, di sini, hari ini.

Terdahulu, MFL mengumumkan sebahagian perlawanan Liga-M 2023 akan bermula seawal antara jam 4.30 hingga 4.45 petang bagi Sabah dan Sarawak serta antara jam 5.15 hingga 5.30 petang bagi pasukan berpangkalan di Semenanjung.

Sementara dua waktu sepak mula sedia ada iaitu jam  8.15 dan 9 malam bagi Semenanjung serta jam 7.30 dan 8.15 malam bagi Sabah dan Sarawak dikekalkan, namun pada bulan Ramadan perlawanan akan bermula pada jam 10 malam dan 9.15 malam masing-masing bagi Semenanjung serta Sabah dan Sarawak.

Pelaksanaan waktu sepak mula lebih awal itu sebahagian daripada perubahan penting dilakukan MFL dalam kalendar musim 2023, selain jadual Liga Super menjadi lebih panjang dan Piala Malaysia yang akan berlangsung dalam tempoh saingan Liga Super.

MFL turut melakukan perubahan terhadap format perlawanan Sumbangsih bagi merebut Piala Sultan Haji Ahmad Shah melibatkan Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Terengganu FC pada 24 Feb ini apabila perlawanan itu kembali dikira sebagai aksi pertama Liga Super.

Pertembungan perlawanan Sumbangsih akan berlangsung di Stadium Sultan Ibrahim di Iskandar Puteri yang merupakan gelanggang tuan rumah JDT pada jam 9 malam.

-- BERNAMA