Piala Dunia: Speedy Tigers tutup kempen di tempat ke-13

28/01/2023 04:17 PM

KUALA LUMPUR, 28 Jan (Bernama) -- Skuad hoki lelaki kebangsaan mengakhiri kempen Piala Dunia 2023 di kedudukan ke-13 dengan menewaskan Jepun, 3-2, pada aksi klasifikasi tempat ke-13 hingga ke-16 di Stadium Birsa Munda di Rourkela, India.

Penyerang kelahiran Sabah Shello Silverius, muncul wira Speedy Tigers apabila dua jaringannya hari ini berjaya membantu Malaysia, memperbaiki pencapaian tempat ke-15 diraih pada edisi 2018, juga di India.

Pasukan bimbingan A. Arul Selvaraj bermula garang, apabila mendahului juara bertahan Sukan Asia itu seawal minit ketujuh menerusi jaringan pukulan sudut penalti Shello.

Malaysia seharusnya menyalahkan diri sendiri pada suku kedua perlawanan, apabila membuat kesilapan menggunakan 12 berbanding 11 pemain, sehingga menyaksikan ketua pasukan Muhammad Marhan Mohd Jalil terpaksa dikorbankan, selepas menerima layangan kad kuning pada minit ke-19, sekali gus mengakibatkan mereka ‘tempang’ dengan 10 pemain buat seketika di atas padang.

Kesempatan itu digunakan pasukan kendalian Akira Takahashi, untuk menyamakan kedudukan menerusi jaringan padang oleh Kaito Tanaka pada minit ke-23 dan giliran negara matahari terbit pula mendahului sebaik suku ketiga bersambung, hasil jaringan padang Seren Tanaka pada minit ke-31.

Bagaimanapun, kelebihan dimiliki lawan hanya bertahan seminit apabila Shello menyumbat jaringan kedua peribadinya, kali ini menerusi gol padang untuk mengikat kedudukan 2-2 dan pemain muda berusia 20 tahun, Shahmie Irfan Suhaimi kembali meletakkan Malaysia di hadapan dengan jaringan padang pada minit ke-33.

Suku terakhir perlawanan menyaksikan skuad negara hampir melebarkan jaringan menerusi pukulan kilas Ramadan Rosli, namun berjaya ditampan Yoshikawa pada minit ke-53 dan kedudukan itu kekal sehingga wisel penamat dibunyikan.

Malaysia memulakan saingan Kumpulan C dengan langkah kiri apabila tumpas 0-4 ke atas juara tiga kali, Belanda, sebelum bangkit menumpaskan Chile, 3-2 dan mengejutkan New Zealand juga 3-2, untuk mengakhiri saingan di tempat kedua kumpulan.

Skuad kebangsaan kemudian gagal meneruskan rentak kecemerlangan, apabila impian mereka untuk mara ke suku akhir disekat Sepanyol, dengan tewas 3-4 menerusi penentuan penalti shootout ‘sudden death’ selepas mengikat pasukan Eropah itu, 2-2, pada masa sebenar perlawanan dalam aksi ‘Crossover’, Ahad lepas.

Speedy Tigers terus dilanda malang apabila tunduk 3-6 di tangan Afrika Selatan pada aksi penentuan tempat kesembilan hingga ke-16, Khamis lalu.

Dalam pada itu, Arul Selvaraj memuji komitmen tinggi dipamerkan anak buahnya untuk kembali bangkit menamatkan saingan di tempat ke-13, selepas dikecewakan Afrika Selatan.

Beliau berkata kemenangan ke atas Jepun, sudah semestinya mampu menyemarakkan semangat para pemainnya untuk menjalani fasa latihan sekembalinya ke tanah air, bagi menghadapi Sukan Asia 2022 di Hangzhou, China, dijadual berlangsung dari 23 Sept-8 Okt ini.

Beliau pada masa sama kagum dengan kerja keras diperagakan Shello, yang juga dinobatkan pemain terbaik perlawanan, apabila kerap menekan pemain Jepun untuk kembali merampas bola dari kawalan lawan, selain memuji Shahmie Irfan susulan kejayaan menjaringkan gol pertama buat negara, walaupun baharu dipanggil menyarung jersi skuad kebangsaan bagi Piala Dunia kali ini.

Arul Selvaraj juga menyifatkan pasukannya telah menampilkan aksi dengan baik serta disiplin tinggi dalam 22 suku perlawanan, berbanding hanya dua suku perlawanan yang disifatkannya buruk ketika menentang Afrika Selatan, daripada keseluruhan enam perlawanan diharungi mereka dalam kejohanan berprestij itu.

-- BERNAMA