DUN Kedah dijangka bubar selepas 18 Jun - Muhammad Sanusi

01/02/2023 02:24 PM

ALOR SETAR, 1 Feb (Bernama) -- Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor memberi bayangan bahawa Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah akan dibubarkan selepas pertengahan Jun depan bagi membolehkan Pilihan Raya Negeri (PRN) diadakan.

Muhammad Sanusi berkata beberapa faktor termasuk bulan Ramadan, sambutan Aidilfitri, tempoh ibadah haji serta sambutan Aidiladha menyebabkan pihaknya berpandangan DUN Kedah tidak sesuai dibubarkan ketika ini.

"Seperti saya pernah sebut, bulan tiga (Mac) dengan bulan empat (April) puasa dan raya… lepas tu orang pergi haji (kena) tunggu orang balik (dari) haji, (dan) yang penting di Kedah ini pada 18 Jun ada (sambutan) keputeraan Tuanku Sultan Kedah, lepas itu baru boleh buat apa yang patut," katanya.

Beliau berkata demikan ketika ditanya pemberita mengenai jangkaan tarikh pembubaran DUN Kedah bagi membolehkan PRN diadakan, selepas menghadiri majlis sambutan Tahun Baharu Cina peringkat Kedah di sini malam tadi.

Mengulas lanjut, Muhammad Sanusi berkata PAS telah membuat keputusan untuk menentukan sendiri tarikh pembubaran DUN di tiga negeri yang ditadbir iaitu Kedah, Kelantan dan Terengganu tanpa melibatkan perbincangan dengan tiga negeri yang ditadbir Pakatan Harapan (PH).

Bagaimanapun, Muhammad Sanusi yang juga Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat berkata beliau berharap negeri-negeri ditadbir PH iaitu Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan dapat membubarkan DUN masing-masing bersama tiga negeri PAS supaya PRN serentak di kesemua negeri dapat diadakan.

"Perbincangan secara tidak rasmi dengan negeri lain ada, macam saya tanya Menteri Besar Negeri Sembilan (Datuk Seri Aminuddin Harun), bukan dia sengaja nak bubar DUN pada Mei tetapi 1 Jun DUN terbubar sendiri.

"Jadi mahu tidak mahu dia kena bubar pada bulan Mei atau selewat-lewatnya 31 Mei. Jadi kalau nak disekalikan PRN kena buat dalam tempoh 60 hari, jadi negeri-negeri lain dalam tempoh itulah antara 1 Jun hingga 31 Julai. Secara tak rasminya macam itulah," katanya.

-- BERNAMA