MBI PBT pertama di Perak amal Bazar Ramadan Mesra Alam

15/02/2023 03:43 PM

IPOH, 15 Feb (Bernama) -- Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) menjadi pihak berkuasa tempatan (PBT) pertama di Perak yang mengamalkan konsep Bazar Ramadan Mesra Alam.

Datuk Bandar Ipoh Datuk Rumaizi Baharin berkata konsep berkenaan bertepatan dengan kempen Bandar Rendah Karbon iaitu dengan menggalakkan pengunjung membawa bekas makanan sendiri.

“Ini merupakan tahun pertama pelaksanaan ke arah pengurangan penggunaan plastik. Jika mahu guna plastik sekali pun, peniaga digalak menggunakan bekas makanan terbiodegradasi,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Mesyuarat Penuh MBI Bulan Februari 2023 di sini hari ini.

Rumaizi berkata setakat ini MBI telah meluluskan 19 tapak bazar Ramadan melibatkan lebih 1,000 peniaga dan masih menerima permohonan untuk membenarkan sekurang-kurangnya tiga lagi tapak baharu untuk beroperasi.

-- BERNAMA