Bazar Ramadan konsep tradisional, ala Jalan TAR di Ipoh tahun ini - Datuk Bandar

02/03/2023 07:38 PM

IPOH, 2 Mac (Bernama) -- Konsep tradisional dan menjual lebih banyak Menu Rahmah akan diterapkan menerusi bazar-bazar Ramadan yang beroperasi di bawah Majlis Bandaraya Ipoh (MBI), tahun ini.

Datuk Bandar Ipoh Datuk Rumaizi Baharin berkata bazar Ramadan ala konsep Jalan Tuanku Abdul Rahman (TAR)’ di ibu negara itu, akan menjual barangan dan makanan pada harga lebih murah daripada pasaran serta mesra alam sekitar. 

“Setiap persatuan akan memperkenalkan pelbagai konsep antaranya komersial seperti Jalan TAR di bawah Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP), menu rahmah di bawah People’s Park dan tradisional di bawah MBI.

“Beberapa konsep yang diperkenalkan buat pertama kali ini akan turut diperluaskan ke Bazar Aidilfitri dan diharapkan rakyat sekitar dapat melihat dan menikmati konsep terbaharu ini,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang MBI 2022, di sini hari ini.

Rumaizi berkata setakat ini MBI telah meluluskan 21 tapak Bazar Ramadan yang melibatkan lebih 1,000 peniaga di sekitar Ipoh.

Dalam pada itu Rumaizi berkata pihaknya akan bertemu dengan tujuh penjaja berlesen di Taman Rekreasi Sultan Abdul Aziz (Padang Polo) yang enggan berpindah ke penempatan baharu bagi berunding dengan penjaja berkenaan.

“Dakwaan tempat itu tidak strategik dan sesuai untuk peniaga serta mungkin tiada pelanggan yang akan hadir adalah persepsi penjaja sahaja. Kita akan berunding dengan penjaja tersebut dalam masa terdekat,” katanya.

Terdahulu, terdapat tujuh penjaja berlesen di Padang Polo bertegas enggan berpindah ke kawasan baharu dan mendakwa lokasi baharu yang dicadangkan di kawasan berhampiran tidak sesuai untuk mereka berniaga.

Pada 13 Feb, dilaporkan hampir 60 penjaja di kawasan tersebut memberi persetujuan untuk berpindah selepas mengambil kira pandangan MBI bagi mewujudkan sektor baharu perniagaan berteraskan pelancongan gastronomi.

-- BERNAMA