Menu Rahmah McDonald's bukti bukan makanan kelas rendah - Salahuddin
PETALING JAYA, 8 Mac (Bernama) -- McDonald's Malaysia hari ini melancarkan Menu Rahmah bagi membolehkan rakyat Malaysia turut menikmati hidangan McDonald's serendah RM5 di lebih 300 cawangannya seluruh negara.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata inisiatif restoran makanan segera terkemuka itu membuktikan bahawa Menu Rahmah bukanlah menu kelas rendah yang kononnya hanya dibuat untuk golongan B40, seperti didakwa sesetengah pihak.
"Saya yakin syarikat ini tidak akan berkompromi dalam memastikan makanan yang disediakan adalah berkualiti dengan harga berpatutan," katanya selepas majlis pelancaran tersebut.
Sementara itu, Naib Presiden dan Ketua Pegawai Pemasaran McDonald's Malaysia Melati Abdul Hai berkata restoran itu menawarkan tiga pilihan menu yang masing-masing disertakan dengan teh ais limau cawan kecil iaitu burger ayam, bubur ayam dan McEgg.
"Kami gembira dapat bersama menyokong dan menyediakan Menu Rahmah dalam membantu mengurangkan beban hidup rakyat dan menangani isu peningkatan kos sara hidup.
"Ini juga merupakan usaha kami menyantuni masyarakat selain menarik lebih ramai pelanggan dari pelbagai latar belakang untuk sama-sama menikmati hidangan kami," katanya.
Beliau berkata sempena pelancaran Menu Rahmah itu juga, McDonald's mengumumkan kemunculan semula menu yang dinantikan ramai sempena bulan Ramadan, iaitu Foldover Ayam dan Foldover Daging, yang boleh didapati di semua restoran McDonald's mulai hari ini.
McDonald's juga akan melaksanakan kempen Promosi 30 Hari Ramadan yang pelanggan boleh menikmati pelbagai promosi dan ganjaran menarik melalui aplikasi McDonald's sepanjang bulan Ramadan.
Terdahulu, McDonald's turut menyantuni anak-anak yatim dari Pertubuhan Kebajikan Islam Peribadi Mulia di Kajang dengan hidangan Menu Rahmah, sebahagian daripada usaha berterusan syarikat itu dalam menyumbang kepada masyarakat di sekitar lokasi operasinya.
-- BERNAMA