KPDN Kedah sasar 200 premis tawar Menu Rahmah sebelum Ramadan

09/03/2023 12:34 PM

ALOR SETAR, 9 Mac (Bernama) -- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kedah menyasarkan sebanyak 200 premis makanan di negeri itu akan menawarkan Menu Rahmah sebelum tibanya bulan Ramadan.

Pengarahnya Affendi Rajini Kanth berkata setakat ini, jumlah premis makanan yang telah menyediakan Menu Rahmah berkenaan telah menghampiri sasaran awal iaitu sebanyak 150 premis.

“Sebelum Ramadan ini, diharapkan ia mampu mencapai 200 premis yang dapat menyediakan Menu Rahmah di seluruh Kedah bagi membantu golongan yang memerlukan.

“Menu Rahmah ini juga sedang dirancang untuk dilaksanakan di Bazar Ramadan tetapi perbincangan bersama peniaga dan pihak berkuasa tempatan perlu dilakukan terlebih dahulu bagi mencari mekanisme terbaik untuk melaksanakan program berkenaan,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Terdahulu, beliau merasmikan Program Jualan Rahmah Pra Ramadan yang diadakan di Kompleks Belia dan Sukan, Alor Setar yang turut dihadiri Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Suka Menanti Datuk Zamri Yusuf.

Affendi berkata pada program hari ini, dianggarkan lebih 150 individu berpeluang untuk mendapatkan 16 jenis barangan yang ditawarkan pada harga murah antaranya ayam mentah, telur, tepung, gula dan beras.

“Kita berharap program ini dapat dilaksanakan di semua kawasan Dewan Undangan Negeri bagi membolehkan masyarakat setempat dapat membeli barangan pada harga yang murah, jadi kita akan bekerjasama dan berbincang dengan ADUN di kawasan berkenaan,” katanya.

Sementara itu, seorang pembeli, Zawiyah Shah Budin, 44, dari Taman Sri Gunung, dekat sini berkata dia datang seawal pukul 8.30 pagi untuk membeli barangan yang ditawarkan pada program jualan itu.

“Inisiatif yang dilakukan ini sangat bagus kerana dapat membantu golongan yang kurang berkemampuan untuk mendapatkan barangan pada harga yang jauh lebih murah berbanding di kedai runcit atau pasar raya.

“Kesemua barangan yang saya beli hari ini hanya berharga RM78 dan sangat berbaloi kerana kalau beli di kedai biasa harganya sudah mencecah lebih RM100. Saya harap kerajaan dan kementerian dapat meneruskan program ini terutamanya kita semua bakal menyambut bulan Ramadan dan Syawal,” katanya.

-- BERNAMA