Semangat kerjasama anggota PCKKD terserlah dalam program memasak bubur lambuk

16/03/2023 03:46 PM

PUTRAJAYA, 16 Mac (Bernama) -- Semangat berpasukan dan kerjasama yang ditunjukkan anggota Persatuan Suri dan Anggota Wanita Perkhidmatan Awam Malaysia (Puspanita) Cawangan Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) (PCKKD) pada Program Ambang Ramadan Bubur Lambuk Resepi Istimewa hari ini menerima pujian daripada Ketua Setiausaha KKD Datuk Seri Mohammad Mentek.

Beliau yang juga Penasihat PCKKD melahirkan rasa bangga dan terharu setelah melihat komitmen lebih 100 anggota Puspanita yang bergotong-royong memasak bubur lambuk resepi Pulau Pinang sejak 9 pagi tadi dengan diberi tunjuk ajar oleh Pengerusinya Datin Seri Hairani Mohd Tajudin.

Mohammad yang meluangkan masa kira-kira 20 minit pada program itu berkata aktiviti seperti memasak bubur lambuk itu dapat meluaskan jaringan persahabatan dan mengeratkan hubungan sesama pegawai dan kakitangan selain mewujudkan kerjasama rentas agensi.

Selain warga KKD, program berkenaan turut disertai petugas agensi di bawah KKD seperti Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama), Radio Televisyen Malaysia (RTM), Jabatan Penerangan (JaPen), Institut Penyiaran dan Penerangan Tun Abdul Razak (IPPTAR) dan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas).

Sementara itu, Hairani berkata sebanyak tujuh periuk digunakan untuk memasak bubur lambuk dengan setiap satunya menggunakan 15 kilogram beras, dengan satu periuk bubur dimasak dengan ayam dan udang, manakala enam periuk lagi menggunakan daging dan udang.

Beliau berkata ia dapat menghasilkan sebanyak 3,000 pek dan kemudiannya akan diagihkan kepada warga KKD.

-- BERNAMA