Jabatan Kesihatan Kelantan buka lebih 800 jawatan kosong

16/03/2023 05:09 PM

PASIR MAS, 16 Mac (Bernama) – Lebih 800 jawatan kosong dibuka di Hospital Bachok dan bangunan tambahan Hospital Tanah Merah (HTM), kata Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK) Datuk Dr Zaini Hussin.

“JKNK mengadakan beberapa fasiliti yang akan siap dan ada juga yang sudah siap, contohnya di HTM ada bangunan tambahan, manakala pada Oktober ini Hospital Bachok dijangka siap dan memulakan operasi.

"Pembangunan beberapa hospital serta fasiliti baharu di Kelantan memerlukan penambahan tenaga kerja dalam pelbagai jawatan, justeru kita mengalu-alukan mereka yang berkelayakan untuk memohon dan berkhidmat bersama JKNK," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Sambutan Minggu Glaukoma Sedunia dan Hari Buah Pinggang Sedunia 2023 di Hospital Pasir Mas, di sini hari ini.

Sementara itu, Dr Zaini berkata sempena Ramadan, kakitangan JKNK giat menjalankan kempen dan operasi terutama bagi memastikan kebersihan penyediaan makanan serta minuman, khususnya di bazar.

Katanya, pengguna juga diingatkan supaya memilih dan membeli di tempat yang bersih serta mematuhi peraturan tara cara penyediaan makanan.

-- BERNAMA