Bekalan sayur, ayam, telur terkawal dan mencukupi menjelang Ramadan - Salahuddin

16/03/2023 06:25 PM

JOHOR BAHRU, 16 Mac (Bernama) -- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menjangkakan bekalan bara­ngan basah terutama sayur,­ ayam dan telur terkawal dan mencukupi menjelang bulan Ramadan.

Menterinya Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata pihaknya sentiasa membuat pemantauan dan bekerjasama dengan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (MAFS) bagi memastikan bekalan mencukupi, sekali gus bertindak segera sekiranya krisis bekalan berlaku.

Beliau berkata pemantauan bekalan khususnya melibatkan sayur-sayuran di Cameron Highland, yang merupakan satu daripada pembekal negara juga telah dilakukan, susulan beberapa kebun sayur di Johor, Pahang dan Melaka terjejas akibat banjir.

“Semalam pegawai tertinggi KPDN telah pergi ke Cameron Highland untuk memastikan dan memantau bekalan kerana ia merupakan punca bekalan besar (negara).

“Kita hendak melihat adakah kapasiti pengeluaran di situ dapat menampung semasa musim perayaan, di atas kemusnahan kebun sayur di Johor, Pahang dan Melaka, (bagaimanapun) setakat ini kita dapati semua dalam keadaan terkawal,” katanya pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Menu Rahmah di Tea Garden, di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai bekalan sayur, ayam dan telur yang dijangka berkurangan menjelang Ramadan.

Ketika ditanya sama ada terdapat peniaga yang menaikkan harga ketiga-tiga barangan berkenaan, beliau berkata setakat ini pihaknya tidak menerima laporan berhubung perkara itu.

Sementara itu, berkenaan segelintir peniaga yang telah menghentikan jualan Menu Rahmah, Ahli Parlimen Pulai itu berkata inisiatif itu dijalankan tanpa paksaan dan semua pihak boleh melakukannya secara sukarela.

“Saya tidak memperlekeh atau ambil sikap bermusuh dengan mana-mana premis yang segelintir menutup jualan mereka, sebenarnya dari awal lagi kita telah mengumumkan dengan jelas, bahawa inisiatif ini mesti dilakukan secara sukarela.

Tidak pernah ada peraturan, yang kita paksa mana-mana peniaga buka kedai jual menu itu, kerana kita faham RM5 bukan satu bayaran yang munasabah dalam keadaan negara, rakyat dan peniaga alami isu sara hidup, oleh sebab itu kita buat libat urus dengan pelbagai persatuan dan sebagainya,” katanya.

Beliau bagaimanapun berkata Menu Rahmah yang mencetuskan fenomena itu dilihat terus mendapat sokongan pelbagai pihak termasuk pemain industri yang bermurah hati menyahut inisiatif itu.

-- BERNAMA