Kempen Mari Beli Lokal Ramadan dan Raya sasar jualan RM2.5 juta

22/03/2023 04:55 PM

KUALA LUMPUR, 22 Mac (Bernama) -- Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi menyasarkan RM2.5 juta hasil jualan menerusi Kempen Mari Beli Lokal Ramadan dan Raya di platform e-dagang My Mall, bermula hari ini hingga 22 April.

Menterinya Datuk Ewon Benedick berkata seramai 1,000 usahawan tempatan dijangka menyertai kempen tersebut bagi menyemarakkan penglibatan perusahaan mikro, kecil dan sederhana dalam platform dalam talian dan penggunaan produk keluaran usahawan tempatan. 

Beliau berkata sebanyak 803 produk antaranya makanan, minuman, perkhidmatan dan sebagainya, ditawarkan menerusi kempen itu. 

"Kementerian komited memastikan peningkatan sebanyak 20 peratus usahawan tempatan yang mengunakan MyMall ini," katanya pada sidang media selepas melancarkan Mari Beli Lokal Ramadan dan Raya, di sini hari ini. 

Ewon turut menyarankan usahawan tempatan untuk memanfaatkan dan melibatkan diri dalam kempen itu kerana ia bukan sekadar platform e-dagang, malah pembangunan ekosistem keusahawanan bersepadu yang turut menawarkan khidmat latihan, pembiayaan dan pemasaran secara percuma.

Katanya platform e-dagang My Mall yang dibangunkan Oktober tahun lepas kini mempunyai kira-kira 7000 usahawan dengan 900 produk. 

“Platform MyMall ini tidak mengenakan caj kepada usahawan dan mereka tidak perlu menaikkan harga barangan bagi menampung kos operasi perniagaan,” katanya. 

-- BERNAMA