1,500 bubur lambuk air tangan Permaisuri Agong diagihkan kepada rakyat

24/03/2023 03:17 PM

KUALA LUMPUR, 24 Mac (Bernama) -- Setiap kali menjelang Ramadan, Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah yang cukup dikenali dengan bakat dan kebolehan memasak, pastinya tidak ketinggalan menyinsing lengan baju menyediakan juadah bubur lambuk Pahang untuk diagihkan kepada rakyat.

Tahun ini, Tunku Azizah sekali lagi berkenan mencemar duli memasak resipi tradisi rakyat Pahang itu di pekarangan surau utama Istana Negara.

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah turut mencemar duli membantu menyediakan juadah itu.

 Seri Paduka Baginda berdua dibantu kira-kira 200 pegawai dan kakitangan Kelab Kebajikan dan Sukan Istana Negara (KEKSIN) yang bergotong-royong seawal 10 pagi tadi.

Tunku Azizah bertitah, bubur lambuk Pahang mempunyai keistimewaan tersendiri kerana ia menggunakan pucuk paku merah.

“Tetapi susahnya nak cari (pucuk paku merah), dapat sedikit sahaja tadi. Jadi tidak apalah, kita letak sayur-sayuran lain lagi.

“Bubur lambuk Pahang juga menggunakan santan, udang kering. Saya pun belajar daripada orang Pahang. Kalau bubur lambuk Johor, dia lain,” titah Seri Paduka pada Program Bubur Lambuk Raja Permaisuri Agong bersama KEKSIN di Istana Negara di sini. 

Sebanyak 1,500 bekas bubur lambuk akan diagihkan kepada Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur, Ibu Pejabat Polis Brickfield, Institut Jantung Negara, Penjara Kajang dan Rumah Transit Gelandangan. 

Selain di ibu negara, Raja Permaisuri Agong akan menyediakan juadah tersebut di Padang Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) serta di Penjara Penor.

Seri Paduka mengajak orang ramai untuk merasai resipi istimewa itu.

-- BERNAMA