1,839 premis seluruh negara diperiksa sepanjang dua hari Ramadan - KPDN
SEREMBAN, 24 Mac (Bernama) -- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) memeriksa 1,839 premis perniagaan di seluruh negara setakat dua hari Ramadan bagi memastikan semua peniaga mematuhi peraturan termasuk penggunaan tanda harga.
Ketua Setiausaha KPDN Datuk Azman Mohd Yusof berkata daripada jumlah itu hanya tiga premis dikompaun atas kesalahan kecil seperti tidak mempamer tanda harga dan alat penimbang tamat tempoh.
“Bermula Ramadan ini kita bukan sahaja buat pemantauan di bazar Ramadan, tapi premis perniagaan biasa untuk memastikan mereka tidak sewenang-wenangnya menaikkan harga barangan.
“Jadi, kita turun padang untuk memberikan advokasi kepada peniaga supaya mematuhi peraturan termasuk harga barang, alat timbangan dan isu halal, selain melihat keperluan peniaga dari segi bekalan barangan,” katanya kepada pemberita selepas melakukan tinjauan sempena Ops Pantau 2023 di sini hari ini.
Beliau berkata KPDN sentiasa bekerjasama dengan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan bagi memastikan bekalan barangan basah terutama ayam mencukupi, sekali gus bertindak segera sekiranya krisis bekalan berlaku sepanjang Ramadan dan menjelang Aidilfitri.
Dalam pada itu, Azman berkata sekurang-kurangnya 30 peratus daripada peniaga bazar Ramadan diharap dapat menawarkan menu Rahmah di gerai masing-masing mengikut keupayaan bagi membantu golongan tidak berkemampuan mendapatkan juadah berbuka.
“Melalui libat urus bersama pengarah KPDN negeri di seluruh negara, rata-rata bazar Ramadan bersedia menawarkan menu Rahmah. Kita masih kumpulkan maklumat mungkin selepas seminggu Ramadan kita dapat tahu berapa banyak bazar terlibat,” katanya.
-- BERNAMA