Pengunjung bazar Ramadan Putrajaya boleh salur aduan menerusi kod QR
PUTRAJAYA, 24 Mac (Bernama) -- Pengunjung bazar Ramadan di Putrajaya kini boleh menyalurkan aduan mengenai kebersihan dan keselamatan makanan di bazar Ramadan menerusi kod QR, kata Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa.
Bercakap kepada pemberita selepas melakukan tinjauan dan melancarkan Ops Kebersihan Keselamatan Makanan Bazar Ramadan di Bazar Ramadan Presint 3 di sini hari ini, Dr Zaliha berkata kemudahan aduan melalui kod QR itu dimulakan di Putrajaya sebelum ke seluruh negara secara berperingkat.
“Tindak balas terhadap aduan akan diambil dalam tempoh 24 jam oleh BKKM (Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan) KKM,” katanya.
Di Bazar Ramadan Presint 3 itu, kod QR disediakan di laluan masuk dan keluar bazar berkenaan.
Ditanya tindakan susulan KKM terhadap aduan yang diterima, Dr Zaliha berkata BKKM akan ke lokasi bagi mengambil sampel makanan untuk dianalisis atau melakukan pemeriksaan tahap kebersihan premis yang diadu.
“KKM pandang serius aspek keselamatan makanan untuk elak pembeli dari keracunan makanan lebih-lebih lagi di bulan Ramadan,” katanya.
Mengenai Operasi Ramadan tahun lepas, beliau berkata sebanyak 38 daripada 19,951 premis makanan yang diperiksa telah dikenakan tindakan penutupan kerana premis tidak bersih.
Sebanyak 1,030 notis kompaun dikeluarkan atas pelbagai kesalahan di bawah Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009, katanya.
“Setiap tahun KKM melalui BKKM akan pantau aspek kebersihan premis makanan di bazar Ramadan seluruh negara bagi memastikan makanan yang disediakan dan dijual adalah selamat dan mematuhi Akta Makanan 1984 dan peraturan-peraturan di bawahnya,” katanya.
-- BERNAMA