CGS-CIMB unjur inflasi pada 3.0 peratus bagi 2023
KUALA LUMPUR, 27 Mac (Bernama) -- CGS-CIMB Research mengekalkan unjuran inflasi pada 3.0 peratus tahun ke tahun untuk 2023, lebih rendah berbanding inflasi indeks harga pengguna (IHP) 2022 sebanyak 3.3 peratus tahun ke tahun.
Firma penyelidikan itu berkata kenaikan harga makanan seterusnya dijangka berlaku dalam beberapa bulan akan datang disebabkan Ramadan dan cuti sempena sambutan Aidilfitri, pada masa itu permintaan makanan dijangka meningkat.
“Disebabkan ini, bagi mengehadkan potensi kenaikan harga, kerajaan baru-baru ini melancarkan Jualan Rahmah, sebuah inisiatif di bawah Payung Rahmah bermula dari 23 Mac hingga 22 April 2023 yang menawarkan diskaun 40 peratus ke atas lebih 150 keperluan asas.
"Kerajaan juga merancang untuk mengumumkan skim kawalan harga dalam tempoh cuti umum sama seperti yang telah dilancarkan pada musim perayaan sebelum ini," katanya dalam nota penyelidikan hari ini.
Jabatan Perangkaan Malaysia baru-baru ini mengumumkan bahawa IHP pada Februari meningkat 0.2 peratus bulan ke bulan dan 3.7 peratus tahun ke tahun, lebih tinggi daripada jangkaan CGS-CIMB dan Bloomberg.
Recently, the Department of Statistics Malaysia announced that the CPI in February rose 0.2 per cent month-on-month (m-o-m) and 3.7 per cent y-o-y, which were higher than CGS-CIMB’s and Bloomberg's expectations.
Sementara itu, IHP teras meningkat 0.2 peratus bulan ke bulan, meningkatkan pertumbuhan tahun kepada 3.9 peratus, ia didorong oleh pertambahan dalam komponen makanan dan tenaga dan diimbangi oleh pengurangan dalam komponen pengangkutan.
CGS-CIMB berkata walaupun kenaikan elektrik kepada pengguna bukan domestik tidak menjejaskan IHP secara langsung terdapat kesan tidak langsung melalui kos pengeluar yang lebih tinggi yang mungkin diserahkan kepada pengguna.
Setakat ini, Indeks Harga Pengeluar terbaharu untuk Januari 2023 masih sederhana, menjejaki lebih rendah pada 1.3 peratus tahun ke tahun daripada 3.5 peratus tahun ke tahun pada Disember 2022.
-- BERNAMA