KERAJAAN TEGAS SOAL PEMBERIAN KONTRAK, PROJEK SELARAS PRINSIP TATA KELOLA BAIK - ANWAR

29/03/2023 03:28 PM

PUTRAJAYA, 29 Mac (Bernama) -- Kerajaan mengambil pendekatan tegas dalam soal pemberian kontrak atau projek kepada mana-mana pihak selaras dengan prinsip tata kelola baik diterapkan dalam pentadbiran, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Anwar yang juga Menteri Kewangan menegaskan pemberian kontrak atau projek dengan niat untuk mendapat kepentingan tertentu umpamanya adalah tidak dibenarkan.

“(Contohnya) derma kepada parti boleh tetapi kalau saya beri kontrak kepada syarikat A dan syarikat A beri kepada parti. Itu jadi syarat ‘remuneration’ (ganjaran) peribadi atau syarikat peribadi atau kepada parti.

“Itu ada kepentingan di situ dan sebab itu kita kena jaga. Lebih baik kita keras dan tegas dalam hal ini (pemberian kontrak) untuk selamatkan negara,” kata beliau ketika berucap pada program Ihya Ramadan Kementerian Kewangan di sini hari ini.

Anwar berkata beliau tegas dalam menentang rasuah serta penyalahgunaan kuasa dan mahu membela nasib rakyat miskin di negara ini.

“Soal sikap yang menentang penyalahgunaan kuasa dan rasuah ditekankan dalam tadbir urus dalam Islam, … bila soal ini kita remehkan, (contohnya) rasuah ‘ok’ kalau dikategorikan sebagai sedekah.

“Hal itu yang mengelirukan, ia tidak ada kesamaran dan tidak boleh kelirukan antara hak dan batil," katanya.

Menyentuh program Ihya Ramadan, Anwar berkata  program ilmu yang dianjurkan di kementerian dan jabatan kerajaan perlu tertumpu kepada soal spiritual dan nilai. 

“Ada tajuk khusus yang kita boleh tumpukan untuk lebih dengar dan hadam… ada rencana boleh diedarkan selain daripada Al-Quran,” katanya. 

Pada majlis itu, Anwar turut meluangkan masa mendengar tazkirah yang disampaikan Mufti Wilayah Persekutuan Datuk Dr Luqman Abdullah. 

Turut hadir Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar, Timbalan Menteri Kewangan Datuk Seri Ahmad Maslan dan Ketua Setiausaha Perbendaharaan Datuk Johan Mahmood Merican.

-- BERNAMA