MAIWP SUMBANG RM1.7 JUTA BANTU GOLONGAN MUALAF
KUALA LUMPUR, 29 Mac (Bernama) -- Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) hari ini menyampaikan sumbangan berjumlah RM1.7 juta bagi membantu golongan mualaf di Wilayah Persekutuan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar telah menyampaikan sumbangan itu pada program berbuka puasa ‘Rahmah Ramadan MAIWP Bersama Saudara Kita’ kepada empat pertubuhan bukan kerajaan yang aktif berdakwah dan membantu golongan mualaf.
Sumbangan itu disampaikan kepada Pertubuhan Kebajikan Islam Kebangsaan yang menerima RM800,000, Hidayah Centre Foundation (RM350,000) serta Pertubuhan Cina Muslim Malaysia dan Pertubuhan Gerakan India Muslim Malaysia yang masing-masing menerima RM200,000.
MAIWP juga menyumbangkan RM300 seorang kepada 500 mualaf yang hadir pada program tersebut dengan jumlah peruntukan sebanyak RM150,000.
Mengenai sumbangan itu, Mohd Na’im berkata ia mustahil dapat dilakukan sekiranya tiada sumbangan yang memberangsangkan oleh pembayar zakat di Wilayah Persekutuan kepada Pusat Pungutan Zakat MAIWP.
“Jika mereka (pembayar zakat) tidak memberikan sumbangan sebegini, manakah mungkin MAIWP akan dapat menyampaikan sumbangan dan membantu golongan asnaf,” katanya pada program itu di sini hari ini.
Mohd Na’im turut menyampaikan tiga anugerah bagi menghargai pencapaian tokoh golongan mualaf dalam bidang dakwah, keusahawanan dan pendidikan.
Anugerah tersebut disampaikan kepada Ahmad Daniel Alhafiz Aduka yang memenangi kategori Dakwah, Sumayyah Teng Yoke Chin (Keusahawanan) dan Afrina Catherine Edwin Chan (Pendidikan).
Ketiga-tiga pemenang anugerah berkenaan membawa pulang hadiah tunai berjumlah RM2,000 berserta sijil penghargaan.
Sementara itu, Mohd Na’im berkata beliau berharap lebih ramai pembayar zakat akan tampil menunaikan tanggungjawab mereka, sekali gus MAIWP dapat mencapai sasaran kutipan zakat berjumlah RM1 bilion pada tahun ini.
“Insya-Allah dengan usaha yang dibuat MAIWP, apabila sumbangan zakat ini disampaikan kepada mereka yang layak menerimanya, Insya-Allah akan menaikkan keyakinan pembayar zakat dan sasaran kutipan tersebut akan tercapai,” katanya.
-- BERNAMA