ARAB SAUDI SUMBANG KURMA, AL-QURAN DAN TAJAAN MAJLIS BERBUKA PUASA

30/03/2023 10:51 AM

PUTRAJAYA, 30 Mac (Bernama) -- Kerajaan Arab Saudi hari ini menyampaikan sumbangan 35 tan kurma di bawah program Hadiah Penjaga Dua Tanah Haram Raja Salman Abdulaziz Al-Saud kepada umat Islam di Malaysia sempena bulan Ramadan.

Kerajaan Arab Saudi turut berkenan menyampaikan sumbangan 17,000 naskhah al-Quran serta menaja majlis berbuka puasa nasi mandy ayam untuk 15,000 orang.

Sumbangan itu disampaikan Timbalan Duta Besar Arab Saudi di Kuala Lumpur Dr Saleh Ali Ismail Bedaiwi kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar di sini hari ini.

Mohd Na'im dalam ucapannya berkata Malaysia amat bertuah kerana sentiasa mendapat ruang dan dipilih oleh kerajaan Arab Saudi untuk pelaksanaan program itu.

"Bagi pihak kerajaan Malaysia, saya mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih kepada Penjaga Dua Tanah Haram Raja Salman Abdul Aziz Al-Saud dan sentiasa mendoakan agar baginda sentiasa diberikan  kesihatan berpanjangan serta keberkatan daripada Allah," katanya.

Malaysia telah menerima sumbangan di bawah program hadiah berkenaan sejak lebih 20 tahun lepas.

"Saya sentiasa mendoakan supaya hubungan akrab antara kedua-dua negara, Malaysia dan Arab Saudi, akan terus diperkukuh silaturahim seperti yang dikehendaki oleh agama," katanya.

Beliau berkata pengagihan sumbangan kerajaan Arab Saudi itu akan diuruskan oleh pelbagai pihak yang diselaras oleh Pejabat Atase Agama Kedutaan Arab Saudi di Kuala Lumpur.

Turut hadir pada majlis itu ialah Setiausaha Bahagian Hal Ehwal Pejabat Kementerian Hal Ehwal Islam Arab Saudi di Luar Negara merangkap Pemangku Atase Agama Kedutaan Arab Saudi di Kuala Lumpur Syaikh Abdul Wahab Abdullah Al-Qahtan.

-- BERNAMA