DATUMCORP, TEMU JELATEK AGIH 2,000 BUNGKUS BUBUR LAMBUK

01/04/2023 09:10 PM

KUALA LUMPUR, 1 April (Bernama) -- DatumCorp International Sdn Bhd (DatumCorp), anak syarikat milik penuh Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS),dengan kerjasama Temu Jelatek,mengagihkan 2,000 bungkus bubur lambuk sebagai sebahagian daripada inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR).

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pembangunan Hartanah) PKNS, Md Kamarzan Md Rais, berkata program CSR itu merupakan tradisi syarikat untuk disumbangkan kepada masyarakat setiap Ramadan dan ia merupakan yang pertama di pusat beli-belah yang baru dibuka, Pusat Beli-Belah Datum Jelatek.

Agihan bubur lambuk ini diberikan kepada pengunjung Pusat Beli-Belah Datum Jelatek, masjid, penduduk, rumah anak yatim dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di kawasan ini,” katanya kepada pemberita selepas majlis memasak dan pengagihan bubur lambuk, di sini, hari ini.

Md Kamarzan, yang juga Pengarah DatumCorp, berkata Chef Temu Jelatek, Zubillah Salahudin mengetuai pasukan 50 pekerja daripada pelbagai jawatan syarikat dalam penyediaan, memasak dan pengagihan bubur.

Beliau juga berkata syarikat itu akan menganjurkan majlis berbuka puasa bersama rumah anak yatim di ruang acara Temu Jelatek pada 12 April ini sebagai sebahagian daripada program CSR.

Sementara itu, Md Kamarzan berkata kadar penghunian pusat beli-belah itu kini mencecah 70 peratus dan berharap dapat mencapai 95 peratus penghunian menjelang suku keempat tahun ini.

"Pusat Beli-Belah Datum Jelatek masih baru, dan masih terdapat penghunian yang sedang diisi. Kami berharap dengan lebih banyak kedai tersedia tidak lama lagi, lebih ramai pengunjung ke sini," katanya.

Katanya, mereka kini sedang berbincang dengan beberapa jenama terkemuka yang akan dibuka secara berperingkat di pusat berkenaan.

-- BERNAMA