Pkns Sumbang Rm10,000 Beli Kelengkapan Pakaian Raya Anak Yatim Pekeas
SHAH ALAM, 2 April (Bernama) -- Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) menerusi program Shopping Raya Ramadan Kasih PKNS meraikan 40 anak yatim dari Pertubuhan Kebajikan Ehsan Ash-Shakur (PEKEAS), dengan membeli kelengkapan pakaian raya di Kompleks PKNS, di sini hari ini.
Ketua Pegawai Korporat PKNS Idris Ishak berkata pihaknya memperuntukkan kira-kira RM10,000 untuk program yang melibatkan anak-anak yatim berusia empat hingga 17 tahun, dan mereka diberi peluang memilih sendiri baju raya mengikut citarasa masing-masing.
"Saya berharap sumbangan RM250 setiap seorang ini sedikit sebanyak dapat meringankan bebanan pentadbir rumah PEKEAS dalam menyediakan kelengkapan sambutan raya mereka.
"Saya amat gembira apabila melihat wajah-wajah ceria dan teruja mereka hari ini. Semoga ketibaan Aidilfitri nanti menambahkan keriangan mereka walau dimana mereka menyambutnya," katanya di sini hari ini.
Idris berkata program di bawah inisiatif Ramadan Kasih PKNS itu merupakan antara beberapa siri tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang diatur sepanjang Ramadan tahun ini bertujuan memberi peluang kepada PKNS berkongsi rezeki dengan yang kurang berkemampuan dan antara usaha menyumbang semula kepada masyarakat.
Katanya siri aktiviti lain yang dianjurkan adalah Gotong Royong Ramadan Kasih PKNS, Raga Ramadan Kasih PKNS, Bekal Ramadan Kasih PKNS, edaran bubur lambuk dan Majlis Iftar Ramadan Kasih PKNS.
-- BERNAMA