Jbpm Johor Hargai Pengamal Media  Kerjasama Sebar Maklumat, Kekang Maklumat Palsu 

04/04/2023 04:36 PM

JOHOR BAHRU, 4 April (Bernama) -- Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Johor menghargai peranan pengamal media di negeri itu yang sentiasa bekerjasama dengan jabatan itu dalam membantu menyebarkan maklumat sekali gus mengekang penyebaran berita palsu.

Pemangku Pengarah JBPM Johor Penolong Pesuruhjaya Bomba Mohd Rizal Buang berharap agar hubungan baik yang terjalin sejak sekian lama itu, akan terus kekal memandangkan kedua-dua pihak saling memerlukan dalam menjalankan peranan masing-masing.

“Banyak yang pihak media terutama di bawah Kelab Media Johor (KMJ) membantu kita dalam salur maklumat seperti kes kebakaran terbuka dan sebagainya termasuk mengekang berita palsu. 

“Hubungan baik ini saya lihat bukan sahaja dengan pihak bomba, tetapi juga dengan agensi lain. Jadi saya harap hubungan ini terus berkekalan,” katanya ketika ditemui pemberita pada Program Singgah Sahur 2023 KMJ di Ibu Pejabat JBPM Johor, di sini, awal pagi tadi.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor Datuk Mohd Jafni Md Shukor, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Perpaduan Negeri negeri Ling Tian Soon dan Presiden KMJ Mohamad Fauzi Ishak.

Mohd Rizal berkata kehadiran KMJ menyantuni pihak bomba dan bersahur, sedikit sebanyak turut menyuntik semangat pegawai dan anggota untuk bertugas semasa bulan Ramadan.

Terdahulu, Singgah Sahur KMJ yang masuk ke edisi kesembilan tahun ini, mendapat kerjasama Polis Diraja Malaysia dan disertai kira-kira 50 pengamal media yang berkonvoi menggunakan kereta ke empat destinasi terpilih bagi mengagihkan sajian sahur bermula seawal 1 pagi tadi.

Acara pelepasan program tersebut turut disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Penerangan dan Komunikasi Johor Norlizah Noh.

Empat lokasi dikunjungi KMJ semasa program tersebut iaitu 0 Kilometer, Hospital Sultanah Aminah, Markas Polis Marin Tampoi serta Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Negeri Johor, di sini. 

Antara organisasi media yang menyertainya termasuk Bernama, New Straits Times, Sinar Harian, RTM, Malaysia Gazette, Astro Awani, The Star, Kosmo!, Utusan Malaysia, TV3, Best FM,  Unit Media dan Komunikasi Pejabat Menteri Besar Johor (MedKom) dan Media Digital Johor.

Ahli KMJ turut meluangkan masa kira-kira setengah jam di destinasi terakhir bersahur dan beramah mesra dengan kira-kira 50 anggota dan pegawai bomba yang bertugas.

-- BERNAMA