I-care4u Ziarah Kasih Ramadan Sasar 2,795 Penerima

05/04/2023 05:49 PM

PUTRAJAYA, 5 April (Bernama) -- Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri (JPM) menerusi program i-Care4U: Ziarah Kasih Ramadan menyasarkan 2,795 peserta e-Kasih untuk menerima bantuan sebagai persediaan menyambut Hari Raya Aidilfitri dan sesi persekolahan 2023, kata Ketua Pengarahnya Datuk Seri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz.

Beliau berkata tiga rakan strategik ICU JPM iaitu Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), Prudential Bank Simpanan Nasional Takaful Berhad (PruBSN) dan Stesen Janakuasa Putrajaya (SJPJ) bekerjasama bagi menjayakan program tersebut dengan sumbangan berupa wang dan barangan.

Katanya PTPTN menyumbang sebanyak 3,000 beg sekolah, PruBSN menyumbang RM50,000 manakala SJPJ pula sebanyak RM5,000.

Pada Majlis Penyerahan Cek Replika dan Simbolik Program i-Care4U di sini hari ini, Wan Ahmad Dahlan berkata program tanggungjawab sosial korporat (CSR) itu akan dilaksanakan di seluruh negara dengan beberapa sesi turun padang yang dijadualkan sepanjang bulan ini.

Program di bawah Inisiatif Kesejahteraan Rakyat ICU JPM itu menyediakan platform kepada badan korporat termasuk masyarakat sivil untuk membantu golongan kurang berkemampuan terutama miskin tegar di Malaysia, katanya.

“Semoga jalinan kerjasama seumpama ini menjadi pemangkin kepada agensi dan badan korporat lain untuk bergerak sejajar agenda kerajaan MADANI bagi mencapai sasaran sifar miskin tegar 2025,” katanya.

-- BERNAMA