Agong, Raja Permaisuri Berkenan Melawat Bazar Ramadan Peringgit

05/04/2023 06:14 PM

MELAKA, 5 April (Bernama) -- Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan melawat Bazar Ramadan Peringgit di sini hari ini. 

Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah berangkat tiba di bazar itu pada 4.45 petang dengan Yang di-Pertuan Agong sendiri memandu kenderaan rasmi.

Ketibaan Seri Paduka berdua disambut dan diiringi kenamaan utama negeri, diketuai Yang Dipertua Negeri Tun Mohd Ali Mohd. Rustam dan Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh. 

Turut hadir Timbalan Menteri Belia dan Sukan Adam Adli Abd Halim dan barisan exco kerajaan negeri. 

Dalam kunjungan kira-kira satu jam itu, Seri Paduka berdua berkenan membeli juadah berbuka puasa antaranya kuih keria, puding karamel, martabak dan roti jala, selain meluangkan masa beramah mesra bersama pengunjung.

Kira-kira 1,000 orang mengunjungi bazar itu yang menempatkan lebih 100 lot menawarkan pelbagai kuih-muih, lauk-pauk serta minuman.

Para pengunjung juga mengambil peluang untuk melihat tetamu istimewa itu secara lebih dekat.

Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah kemudian dijadualkan berangkat menghadiri majlis pemasyhuran Masjid Ar-Razzaq dan majlis berbuka puasa di Pasir Puteh, Bachang di sini.

Terdahulu, Seri Paduka berdua berangkat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Melaka (LTAM) Batu Berendam dengan pesawat khas pada 11.56 pagi bagi memulakan lawatan dua hari ke Melaka. 

Esok, Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong dijadualkan menerima mengadap ahli-ahli Majlis Agama Islam Melaka (MAIM). 

-- BERNAMA